Skip to main
Logo Malaysiakini

SURAT | Pasca-Covid-19 tanpa diskriminasi kaum

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Hari Hak Asasi Manusia peringkat antarabangsa pada tahun ini disambut dengan tema Recover better - stand up for human rights.

Kebiasaannya, hari ini disambut pada setiap tanggal 10 Disember.

Rasional tarikh ini dipilih adalah bersempena dengan penerimaan Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat (UDHR) oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Merujuk kepada artikel ke-2 UDHR, menghapuskan diskriminasi terhadap mana-mana pihak merupakan komponen asas: “Anda tidak sepatutnya didiskriminasi atas apa jua sebab.”

Dalam erti kata mudah, “diskriminasi” dapat difahami dengan perkataan “penindasan” dan ia berlaku dalam pelbagai bentuk.

Penularan wabak Covid-19 pada tahun 2020 menyebabkan perubahan mendadak cara hidup kebanyakan rakyat Malaysia.

Perubahan ini boleh dilihat secara positif mahupun negatif dalam segenap aspek kehidupan kita termasuklah politik, ekonomi dan sosial.

Namun, ia juga telah menyerlahkan sisi gelap sebahagian kita dalam menanggapi isu diskriminasi.

Menyorot kembali tahun 2020, pelbagai contoh diskriminasi yang dapat kita senaraikan, antaranya isu bot pelarian Rohingya yang dihalang berlabuh, penangkapan besar-besaran warga migran.

Ini termasuk respons berbaur perkauman terhadap kelompok-kelompok tertentu termasuklah pengembara daripada China, jemaah Tabligh dan pekerja migran.

Tidak terkecuali kenyataan stereotaip perkauman oleh beberapa pemimpin kita serta tahap kemudahan tempat tinggal pekerja buruh kasar yang amat mendukacitakan.

Contoh di atas hanyalah senarai kecil daripada peristiwa-peristiwa berkaitan diskriminasi yang berlaku dalam negara kita.

Dengan membudayakan perbincangan serta dialog akan dapat membantu kita memahami dengan jelas dan mendalam mengenai punca-punca sebenarnya isu diskriminasi di negara kita.

Wacana yang berfokus, rasional serta berobjektif ini juga dapat mengelakkan pandangan kita daripada dikelabui pertimbangan perkauman.

Kemiskinan yang melarat, kesenjangan yang parah dan diskriminasi yang berpanjangan telah dikenal pasti sebagai batu penghalang dalam usaha-usaha pemulihan pasca Covid-19.

Oleh itu, merapatkan kembali jurang yang ada dan menjadikan hak asasi manusia sebagai asas dalam merangka pelan tindakan pemulihan pasca Covid-19 bagi membentuk Malaysia yang lebih baik, berdaya tahan, adil dan lestari.

Bergerak ke hadapan, marilah kita bersama-sama segenap lapisan rakyat Malaysia - pemimpin dan rakyat - memperbaharui komitmen memastikan diskriminasi perkauman dibanteras agar dapat mewujudkan masa depan pasca Covid-19 tanpa penindasan dengan peluang saksama dalam mengembangkan potensi diri serta perlindungan terhadap seluruh warganegara dan warga.


AWANG ILHAM adalah koordinator program di Pusat Komas, NGO yang mempromosikan nilai-nilai demokrasi, keadilan dan kesaksamaan di Malaysia.

Tulisan ini tidak semestnya mencerminkan pendirian Malaysiakini.