Skip to main
Logo Malaysiakini

SURAT | Lagi 4 hari baru umum arahan belajar di rumah

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah mengeluarkan dua kenyataan media dalam masa terdekat dan berubah secara drastik - murid-murid sekolah seluruh negara diarahkan untuk mengikuti Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPDR) pada 20 Januari 2021 kecuali bagi calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Vokasional Malaysia (SVM), Sijil Kemahiran Malaysia (SKM), Sijil Tinggi Pesekolahan Malaysia (STPM), Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan Diploma Vokasional Maalysia (DVM) tahun 2020.

Pengumuman yang hanya terjadi empat hari sebelum sekolah dibuka ini dilihat sebagai keputusan yang terlalu lewat dan melibatkan ramai pihak pada saat-saat akhir, malah ramai ibu bapa yang sudah bersiap untuk perlengkapan anak mereka terpaksa membatalkan hasrat tersebut.

Perkara yang sama terjadi kepada pelajar Institut Pendidikan Guru (IPG) yang juga terkesan dengan keputusan saat akhir ini apabila PdP diputuskan untuk dijalankan secara dalam talian.

Kami mendesak agar KPM lebih pantas dan tuntas dalam membuat keputusan lebih-lebih lagi dalam keadaan pandemik ini.

Selain itu, KPM perlu menjadi lebih responsif terhadap isu-isu yang dibangkitkan apabila melibatkan ramai pihak seperti ibu bapa, guru dan pelajar di media sosial.

Kami juga mencadangkan KPM mewajibkan pelajar untuk menjalani ujian saringan Covid-19 sebelum dibenarkan ke sekolah.

Selain itu, kami berpandangan keputusan untuk peperiksaan SPM, SVM, SKM, STPM, STAM dan DVM tahun 2020 diteruskan perlu dipertimbangkan semula apabila melihat persediaan pelajar dan jumlah kes Covid-19 ini.

Kami turut mencadangkan perkara yang sama kepada Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) untuk mewajibkan ujian saringan Covid-19 kepada semua pelajar sebelum dibenarkan untuk ke universiti pada bulan Mac 2021 nanti.

Di samping itu juga, KPT juga perlu menubuhkan jawatankuasa bebas khas meliputi pelbagai pihak termasuk persatuan pelajar dan mahasiswa bagi perbincangan mengenai urus tadbir IPT ini.

Pepias percaya proses semak dan imbang ini penting dalam memastikan keputusan yang dicapai lebih yakin, inklusif dan prihatin rakyat.

KPM dan KPT sebagai kementerian yang penting kepada pembangunan modal insan di negara ini perlu menjadi lebih responsif, terbuka dan membuat keputusan tanpa terkesan dengan keadaan politik semasa.


MOHAMAD KHAIRUDDIN ZAHARI ialah presiden Persatuan Pelajar Islam Selangor Darul Ehsan (Pepias).

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.