Skip to main
Logo Malaysiakini

SURAT | Dedah segera hasil siasatan sampel air Sungai Perai

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

SURAT | Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Jabatan Perikanan mendedahkan segera hasil ujian sampel air dan ikan yang mati di Sungai Perai pada 9 Feb lalu.

Langkah sedemikian perlu dilakukan kerana kejadian tersebut amat serius dan menimbulkan kebimbangan orang ramai. Hal itu kerana ribuan ikan yang menjadi mangsa pencemaran berkenaan adalah sumber makanan mereka.

CAP kesal dengan kejadian itu dan meminta JAS menyiasat serta mengenal pasti punca sebenar masalah di samping mengambil tindakan undang-undang yang tegas mengikut Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 ke atas mereka yang terlibat.

Jika masalah ini berlarutan CAP percaya ia bukan saja boleh menyebabkan ikan di dalam sungai tersebut pupus dan sumber pendapatan nelayan tempatan terjejas, malah akan merebak ke laut berhampiran serta mengancam pembiakan kerang di kawasan itu.

CAP tidak mahu nasib Sungai Perai menjadi seperti Sungai Juru apabila ikan, udang dan kerang mati kerana diancam pencemaran sisa toksik dari kawasan perindustrian berhampiran.

Justeru adalah perlu bagi pihak berkuasa memberi perhatian serius terhadap masalah ini dan menjadikan Sungai Perai sebagai lokasi tumpuan kerana ia terdedah dan mudah tercemar oleh pelbagai bahan buangan berbahaya.

CAP juga meminta Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) melakukan pemantauan secara menyeluruh bagi memastikan kilang-kilang yang terdapat di sepanjang sungai terbabit mematuhi segala peraturan yang termaktub di bawah undang-undang sedia ada.

Pada masa sama CAP menyokong cadangan Ketua Pengarah JAS Norlin Jaafar supaya Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dipinda dengan bukan saja meningkatkan jumlah penalti maksimum dari RM500,000 kepada RM10 juta tetapi juga memberi lebih kuasa kepada agensi itu untuk bertindak di luar waktu pejabat.

CAP sebelum ini menerima banyak rungutan daripada orang ramai mengenai kilang-kilang industri yang membuang sisa selepas waktu pejabat bagi mengelak dikesan dan diambil tindakan undang-undang oleh pihak berkuasa.


MOHIDEEN ABDUL KADER ialah presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP).

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.