Skip to main
Logo Malaysiakini

SURAT | Sekuriti makanan: Beberapa saranan untuk Kementerian Pertanian

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Semasa mengambil bahagian dalam perbahasan Belanjawan 2000, Ahli Parlimen Parit Buntar ketika itu, Hasan Mohd Ali melahirkan rasa kecewanya kerana perkataan 'pertanian' disebut sekali sahaja ketika pembentangan.

Ketika menyuarakan kekecewaan itu ketika perbahasan pada 2 Mac 2000, dia berkata bimbang sector pertanian di Malaysia akan terus dibelakangkan dan mempersoal apakah sebenarnya gambaran besar masa depan pertanian negara, dan bilakah kita akan dapat keluar daripada ketidakmampuan sektor pertanian dalam menyumbang kepada pembangunan negara.

Dalam temu bual bersama The Edge pada November 2019, tokoh yang membentangkan belanjawan itu, Daim Zainuddin mengaku Malaysia telah lama meminggirkan sektor pertanian.

"Kita belum menghadapi krisis makanan lagi tetapi perlu bertindak cepat bagi mengatasinya," tegas Daim ketika itu.

Dia turut mengingatkan agar pandangan petani di lapangan dan pihak yang terlibat dalam pertanian didengari dan meminta kerajaan supaya menanggani isu-isu berkaitan sekuriti makanan secara serius sekiranya mahu negara berkembang dalam bidang ekonomi.

Sekuriti makanan merujuk kepada kewujudan bekalan makanan dan kemampuan untuk memperolehinya. Menurut Pertubuhan Makanan dan Pertanian Bangsa-Bangsa Bersatu (FOA), sekuriti makanan wujud apabila semua manusia pada bila-bila masa memperoleh makanan berkhasiat secara mencukupi.

Kajian menunjukkan kalau tiga hari sahaja negara tidak kecukupan makanan ia akan jadi huru-hara dan kacau bilau. Negara yang tidak dapat memenuhi keperluan makanan populasinya dianggap 'lemah'.

Statistik Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (Mafi) menunjukkan berlaku pertambahan jumlah import makanan saban tahun dengan RM224.7 bilion direkodkan untuk tempoh lima tahun dari 2013 hingga 2017, iaitu meningkat pada kadar 7.2 peratus setahun: RM38.8 bilion pada tahun 2013 kepada RM51.3 bilion pada 2017.

Malaysia mengimport makanan daripada 120 negara. Wabak Covid-19 yang sedang melanda dunia memaksa semua pihak mencari jalan mengatasi pelbagai cabaran yang sedang dan bakal dihadapi oleh rakyat dan negara.

Dalam apa keadaan pun, manusia tetap memerlukan makanan untuk hidup. Mafi tidak boleh lagi beroperasi seperti biasa. Antara tindakan segera yang wajar diambil adalah mencari kaedah dan strategi terbaik untuk mentransformasi perjalanan Pejabat Pertanian Daerah, Veterinar, Perikanan dan Pejabat Peladang Kawasan dan agensi berkaitan lain di seluruh negara.

Di daerah, pegawai-pegawai Mafi berhubung dengan semua lapisan masyarakat: petani, penternak, nelayan, agropreneur muda, orang kampung, pengusaha dusun buah-buahan, pengedar hasil, pengeksport, pengimport, orang tengah atau siapa sahaja yang terlibat dalam hal-hal yang berkaitan pertanian.

Sudah bertahun-tahun petani mengadu hasil mereka dibeli dengan harga rendah oleh orang tengah, biji benih dan subsidi baja tidak diedarkan mengikut jadual, isu kekerapan pegawai pertanian daerah atau agensi turun padang, kualiti nasihat dan bimbingan yang diberikan dan cabaran yang dihadapi oleh mereka dalam menghasilkan makanan.

Pegawai-pegawai daerah agensi Mafi juga menghadapi pelbagai kekangan dan rintangan dalam menyempurnakan tugas dan tanggungjawab.

Mafi hendaklah dengan segera melaksanakan revolusi minda dalam kalangan pegawai-pegawai pertanian peringkat daerah. Mereka memerlukan pendedahan kaedah bertindak mengikut situasi dan budaya setempat. Mereka juga perlu dibantu menggunakan pelbagai alat pemikiran aras tinggi menghadapi petani, penternak dan nelayan dalam menyelesaikan masalah-masalah mereka.

Dengan kata lain, kaedah baru perlu difikirkan untuk membantu mereka bertindak dengan cekap menghadapi sebarang cabaran, permasalahan dan krisis yang mengganggu pengeluaran makanan negara. Pejabat agensi Mafi di peringkat daerah perlu ditransformasi dan diperkasakan sebab di sinilah medan pengeluaran makanan negara oleh petani, penternak dan nelayan.

Saya mencadangkan ketua pejabat pertanian peringkat daerah diterajui oleh pegawai berprestasi tinggi yang terpilih melalui saringan ketat dan temu duga dengan gred yang lebih tinggi daripada sekarang. Perubahan ini tidak dapat dielakkan sebab negara bergantung kepada keberhasilan daerah untuk menjamin sekuriti makanan negara.

Contohi Kementerian Pendidikan

Oleh itu, Mafi disaran menggunakan model Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 yang digunapakai oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Pada tiga tahun pertama PPPM tumpuan lebih banyak diberikan kepada peranan Jabatan Pendidikan Daerah (PPD) dalam meningkatkan kualiti guru sekolah melalui latihan-latihan berterusan melaksanakan pengajaran dan pembelajaran berkesan kepada murid.

Selain itu, PPD bertindak memantapkan kepimpinan dan pengurusan pengetua dan guru besar sesuai dengan tuntutan abad ke-21. Selain itu, satu aspek lagi yang dicadangkan diadaptasi daripada Kementerian Pendidikan ialah menjalankan pemeriksaan penuh atau audit forensik di pejabat-pejabat daerah Mafi.

Pemeriksaan disyorkan diketuai oleh pengarah negeri agensi berkaitan dengan anggota pasukan terdiri daripada pegawai-pegawai negeri dan daripada ibu pejabat kementerian.

Sungguhpun Mafi mempunyai kaedah tersendiri dalam mengesan pelaksanaan mutu perkhidmatan pegawai-pegawainya, tetapi saya ingin menyarankan agar maklumat diperoleh melalui kaedah pemeriksaan penuh seperti yang dijalankan di sekolah-sekolah oleh Jemaah Nazir dan Jaminan Kualiti (JNJK).

Di samping menjalankan pemeriksaan biasa mata pelajaran dan lain-lain pemeriksaan bertema di sekolah sepanjang tahun, JNJK turut melaksanakan pemeriksaan penuh di dua buah sekolah rendah dan sebuah sekolah menengah terpilih di setiap negeri setahun sekali.

Pemeriksaan ini akan melibatkan di antara 15 hingga 23 nazir sekolah yang akan 'berkampung' selama lima hari diketuai oleh Ketua Nazir Negeri. Semua aspek akan dinilai sama ada keberkesanan kepimpinan pengetua dan guru besar, guru penolong kanan, ketua bidang atau ketua panitia, penaziran mata pelajaran, kantin, keselamatan, kewangan dan lain-lain.

Pemeriksaan dilaksanakan antaranya berpandukan instrumen khas yang dikenali Standard Kualiti Pendidikan Malaysia (SKPM). Tujuan pemeriksaan ini untuk membolehkan Kementerian Pendidikan mengetahui standard pengajaran dan pembelajaran tahunan guru-murid serta lain-lain aspek di sekolah-sekolah Malaysia.

Dapatan pemeriksaan penuh oleh JNJK dilaporkan kepada Menteri Pendidikan secara bersemuka. Selain itu, dapatan itu akan dibincangkan pada peringkat Jabatan Pendidikan Negeri dan PPD untuk membolehkan tindakan pembetulan dan penambahbaikan berterusan atau serta merta dilaksanakan di sekolah seluruh negara.

Jelaslah, dengan meneliti dan mengubah suai model transformasi daerah berasaskan PPPM dan kaedah Pemeriksaan Penuh JNJK, Mafi mampu memperoleh keberhasilan luar biasa dalam pengeluaran makanan negara.


GHULAM SARVER MOBARAK ALI ialah pembaca Malaysiakini dan peladang.

Artikel ini pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.