Skip to main
Logo Malaysiakini

SURAT | Kisah padang ragut Bidor: KSU Kementerian Pertanian membisu?

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Pelan Strategik Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) dalam konsep 'Merakyatkan Perkhidmatan Awam' dijadikan panduan merangka program-program yang dilaksanakan dalam tempoh 5 tahun kehadapan (2016-2020) agar penyampaian perkhidmatan kerajaan menepati keperluan, kehendak dan aspirasi rakyat.

Dua daripada 6 teras utama: pertama, keterbukaan iaitu mengamalkan minda terbuka dan sentiasa mudah untuk didekati oleh pelanggan yang memerlukan khidmat.

Kedua, turun padang: sentiasa pasang telinga dan buka mata seluas-luasnya untuk mendengar dan melihat sendiri keperluan dan ekspektasi pelanggan.

Walau bagaimanapun, slogan-slogan sebelumnya seperti '1 Malaysia: Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan' hanyalah indah khabar dari rupa: menarik dicanang sana sini tetapi keadaan di lapangan amat berbeza dengan apa yang dijanjikan kepada rakyat.

Contohnya, pada 20 Oktober 2020 saya membuat aduan rasmi dalam sistem Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (Mafi) mengenai surat kepada menteri bertarikh 12 Mac 2020 tentang 'Kisah Padang Ragut Bidor' tidak mendapat jawapan.

Walau bagaimanapun, tiada sebarang maklum balas atau panggilan telefon ekoran surat yang dihantar sendiri ke pejabat menteri dengan sokongan lebih 30 dokumen.

Perkara yang dibangkitkan sebenarnya mudah sahaja iaitu merayu Mafi mematuhi keputusan mesyuarat pembentangan kesulitan-kesulitan yang dihadapi seorang penternak, Haji Manaver M Ali di Padang Ragut Bidor (PRB), Perak di bawah seliaan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV), Perak pada 10 Jun 2008.

Pembentangan itu dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Pertanian ketika itu. Hadir sama Ketua Pengarah Biro Pengaduan Awam (BPA), Ketua Pengarah JPV, pegawai dari pejabat Ketua Setiausaha Negara (KSN), Penasihat Undang-undang, pegawaipegawai Mafi dan dari JPV Perak.

Manaver menyampaikan 32 slaid power point kisah duka laranya menjadi penternak sejak 1995 di PRB dengan fakta, data dan gambar dari mula beliau menjalankan penternakan, termasuk buku daftar lawatan pegawai yang hadir di PRB.

Setelah selesai pembentangan, KSU meminta Manaver menulis surat kepada kepada Kementerian Pertanian memohon bantuan yang diperlukan.

Manaver telah menyampaikan surat bertarikh 7 Julai 2008 kepada KSU seperti yang diputuskan.

Malangnya pada 4 Februari 2009 dia menerima jawapan daripada Pegawai Khas Direktorat JPV yang menyatakan: ”Jabatan beranggapan segala perkara yang dibangkitkan telahpun selesai dan diperjelaskan sewajarnya kepada tuan”.

Pegawai itu mengemukakan 10 muka surat penafian dan mengulang-ulang kelemahannya seperti yang dilakukannya pada 2007.

Surat jawapan sepatutnya diterimanya daripada pejabat KSU kerana beliau yang mempengerusikan mesyuarat, tetapi pegawai lain pula yang membuat keputusan baru membelakangkan keputusan ketua perkhidmatannya.

Pada 19 Mac 2021 saya mengirim e-mel kepada KSU baru Mafi supaya aduan 20 Oktober 2020 diberikan perhatian. Namun, tiada sebarang jawapan diterima daripadanya.

Pada 22 April 2021 saya menulis surat rasmi beserta 35 helai dokumen berkaitan isu PRB kepada KSU Mafi.

Saya turut menemui dan berbincang dengan dua pegawai Mafi selama 30 minit memastikan jawapan diterima mengenai isu yang dibangkitkan.

Walau bagaimanapun, setelah dua bulan berlalu, tiada respons diterima daripada Mafi.

Jelaslah kandungan Pekeliling Kemajuan Pentadbiran Awam Bilangan 1 Tahun 2009:

Penambahbaikan Proses Pengurusan Aduan Awam hanyalah sesuai untuk hafalan pegawai bagi tujuan kenaikan pangkat, bukan sebagai panduan membantu mengatasi permasalahan rakyat.

Jika institusi KSU Mafi membisu, apalah yang boleh diharapkan daripada pegawai-pegawai lain?______________________________________________________________________

GHULAM SARVER MOBARAK ALI ialah seorang peladang.

Artikel ini pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.