Skip to main
Logo Malaysiakini

SURAT | Masa untuk meletakkan kepentingan negara di depan

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

SURAT | Setelah lebih setahun kita berperang dengan musuh halimunan benama Covid-19, nampaknya skrip penceritaan kisah lara rakyat semakin bertambah babak demi babak.

Bermula dari plot terputus mata pencarian sehinggalah ke kemuncak babak iaitu mengambil nyawa sendiri. Skrip lara ini berterusan tanpa menemui jalan penyelesaian.

Tambah memburukkan keadaan apabila watak-watak “antagonis” seperti semakin bermaharajalela. Makin serakah menjarah kuasa dan harta sedang watak rakyat makin terpencil dan mula 'dimatikan' satu persatu.

Kita semua yang turut membintangi setiap adegan dalam skrip ini hanya mampu berserah pada takdir sambil berharap semua ini akan berakhir dengan baik. Lebih penting berharap agar ia berakhir dengan segera.

Ini ceritanya yang berlaku di dalam negara yang kita cintai. Sedih? Memanglah kerana semua kita terkesan dengan keadaan yang berlaku.

Saya sendiri mengalami kesan itu secara langsung apabila ayahanda tercinta yang teguh berjuang melawan jangkitan akhirnya tewas pada awal bulan lalu. Marah? Ya, tapi kepada siapa?

Saya yakin ini bukan kesediah yang terpencil. Ia dikongsi bersama oleh rakyat yang menderita dihimpit keadaan. Namun uniknya rakyat kita ini semakin terhimpit, semakin kita prihatin terhadap nasib orang di sekeliling.

Mungkin sudah menjadi darah daging didikan anak Malaysia untuk terus membantu walau nasib sendiri belum tahu.

Hasil semangat itu dizahirkan dengan wujudnya inisiatif kibar bendera putih untuk mendapatkan bantuan. Ia dilhamkan oleh rakyat, untuk membantu rakyat.

Ini kerana rakyat sedar bahawa hanya rakyat yang faham dengan situasi yang dihadapi oleh rakyat. Ia jauh berbeza dengan golongan kayangan yang mungkin tidak terkesan langsung dengan situasi masa kini.

Pada saat rakyat mengikat perut menahan lapar, golongan kayangan mungkin memikirkan menu apa untuk ditukar pada makan malam nanti. Pada saat rakyat terpaksa bergolok gadai, orang kayangan mungkin sedang memilih kereta baru yang mahu dipakai.

Pada waktu rakyat sedang bertarung nyawa, orang kayangan mungkin sedang berkira-kira jawatan apa yang mahu diterima. Hidup rakyat dan golongan kayangan memang jauh berbeza. Sejauh langit dan bumi.

Jika nanti bekibaran bendera putih di rumah-rumah rakyat yang memerlukan, rakyat biasa jugalah yang akan hadir membantu. Namun jangan terkejut apabila yang akan mendapat nama pula ialah orang politik.

Adegan yang menjengkelkan ini selalu benar berlaku di watan tercinta ini. Lembu punya susu, sapi dapat nama. Memang padan pepatah ini untuk situasi di Malaysia.

Cukup-cukuplah mengejar nama. Sudah-sudahlah mendamba kuasa. Letakkan kepentingan negara di hadapan kita. Nyawa dan nasib rakyat ada di tangan tuan-tuan. Jalankan amanah yang diberi tuhan dengan sebaiknya atau beri laluan kepada yang lebih layak menjalankannya.


HAFIZZUDDIN RAZIAN ialah seorang penggerak NGO yang turut terkesan dengan pandemik Covid-19.

Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.