Skip to main
Logo Malaysiakini

SURAT | Lampin kain batik dan jutawan kosmetik berjiwa kriminal

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Ada benar kata pecinta Multatuli, kalau kemanusiaan tersinggung, semua orang yang berperasaan dan berfikiran waras ikut tersinggung, kecuali orang gila dan orang yang berjiwa kriminal, biarpun dia sarjana.

Malam semalam kumpulan Whatsapp yang sentiasa meriah dengan idea dan perbincangan kempen susu dan pampers tiba-tiba menjadi sepi dalam satu tempoh yang lama selepas Iqbal, orang kuat dalam kempen kami menghantar satu notis.

"Untuk makluman Tuan/Puan, susu dan pampers telah kehabisan stok. Kami telah terima lebih dari 100 permohonan sejak semalam.

“Permohonan Tuan/Puan kami rekodkan dahulu. Insya-Allah kami akan cuba salurkan bantuan untuk fasa dua nanti.

“Kami akan hubungi Tuan/Puan semula."

Notis inilah yang bakal kami semua harus kembalikan semula kepada pemohon jika mereka menghubungi kami untuk mendapatkan bekalan susu atau pampers untuk anak-anak kecil mereka dalam tempoh beberapa hari ini.

Dengan berbaki 58 pek dalam anggaran RM2,900 lagi belum mencukupi. Kami semua sudah mulai resah.

Merujuk data spesifikasi barangan keperluan bakul Makanan bawah Pakej Perlindungan Rakyat Dan Pemulihan Ekonomi (Permai), jumlah senarai barang untuk program Bakul Makanan adalah sebanyak 13 jenis item dengan kos bernilai RM100 termasuk kos pengangkutan serta pembungkusan, upah dan percetakan.

Dalam 13 jenis item ini, susu formula tidak terdapat dalam senarai, hanya susu pekat sahaja apatah lagi lampin pakai buang. Pastilah tidak kerana ia bukan makanan.

Susu formula dan lampin pakai buang adalah dua item yang sangat diperlukan ketika keadaan pandemik dan rentetan PKP yang menjadi satu siri panjang seperti Gerak Khas hingga membantutkan usaha rantaian pendapatan.

Buktinya ada ibu bapa yang terlalu terdesak hingga mengantikan susu formula dengan susu pekat, lampin pakai buang diganti kain batik yang menjadi pakaian si ibu serta paling perit hanya menampung lapar sekadar air kosong.

Ini semua bukan rekaan atau siri penipuan dalam talian yang suspeknya pernah terjun satu bangunan sebuah agensi penguatkuasaan. Ini adalah kisah yang kami sendiri di Kelab Peduli Masyarakat Perlis lalui sekarang.

Berbagi belas dan kasih

Awal Julai lalu kami membuka sumbangan untuk kempen susu dan pampers dengan sasaran kutipan sebanyak RM10,000 bagi menampung 200 pek barangan tersebut namun sehingga semalam 8 Julai 2021, tabungan kami baru mencecah RM7,100 dengan pembelian sebanyak 142 pek. Sebanyak 67 pek telah diedarkan kepada mereka yang terputus bekalan tersebut.

Apabila melihat data-data tersebut saya teringat beberapa permohonan termasuklah ada permohonan luar dari negeri Perlis. Anak kecil saya berusia satu tahun dan paling besar empat tahun manakala yang tengah berumur dua tahun.

Ya, saya boleh bayangkan jika dalam keadaan getir seperti sekarang dengan hilang punca pendapatan, pergerakan terbatas ditambah pula kompaun-kompaun yang bakal menjerut. Apalah sangat yang boleh diusahakan untuk menyanggah lecehan seorang jutawan kosmetik tanpa empati itu di saat semua orang sedang bergelut dengan keadaan sukar sebegini.

Begitulah kata Pramoedya Ananta Toer, "Jarang orang mau mengakui, kesederhanaan adalah kekayaan yang terbesar di dunia ini: suatu kurnia alam. Dan yang terpenting atas segala-galanya ialah keberaniannya. Kesederhaan adalah kejujuran, dan keberanian adalah ketulusan."

Ya, walaupun ini sekadar bantuan yang takkan mungkin dapat menjamin kemandirian mereka, setidak-tidaknya untuk satu dua detik yang menekan dapatlah mereka menghela lega.

Jika ada rakyat Malaysia yang ingin membantu kami meneruskan kempen Susu Dan Pampers Dari Rakyat Untuk Rakyat ini, bolehlah hubungi nombor 0104008480. Terima kasih kerana berbagi belas dan kasih.


ARAFAT HAMBALI ialah sukarelawan Kelab Peduli Masyarakat Perlis.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.