Skip to main
Logo Malaysiakini

SURAT | Kemajuan yang menghiris alam tanpa disedari

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

ULASAN | Suatu masa dulu Mr Os pernah menggeletek naluri kita semua dengan lagu Durian Dah Berbunga. Dengan loghat Peraknya, pelawak dan pelakon terkenal itu bercerita tentang kisah musim durian.

Perak dan Pahang adalah antara negeri yang terkenal menghasilkan buah durian lebih lazat. Cuma mungkin belum ada setakat ini mana-mana orang mencipta lagu mengenai durian Pahang.

Melayan durian tidaklah mudah. Kerja untuk menikmati hasil buah itu bermula seawal pohon mengeluarkan bunga lagi. Ia kemudian berterusan apabila putik durian menampakkan bentuknya.

Kebun atau dusun mula ditebas. Semak samun dan repuh dibersihkan. Dangau untuk berteduh menunggu buah gugur juga dibangunkan. Kebun-kebun tradisional orang kita lazimnya tidaklah sebersih dan serapi ladang durian hibrid yang ada sekarang.

Ada pendapat mengaitkan hal ini dengan sifat orang Melayu yang didakwa malas. Walhal durian kampung memang memerlukan habitat yang sedikit merepuh dan semak untuk membolehkan pokok buah subur.

Itu sifat durian yang asalnya daripada tumbuhan liar baka hutan belantara. Justeru ada simbiosis berlaku dalam habitat sedemikian.

Saya berpendapat orang kita - secara bawah sedar - memang sudah ada naluri pertanian kaedah permakultur (permaculture) yang diwarisi secara semula jadi daripada leluhur mereka.

Permakultur merupakan kaedah pengurusan tanah yang berkembang seiring dengan keperluan ekosistem semula jadi. Maksudnya, sesuatu penanaman itu sama sekali tidak mengabaikan atau merosakkan tumbuhan-tumbuhan asal di sesuatu kawasan.

Ia adalah budaya yang semakin subur diamalkan di Barat ketika ini.

Leluhur kita dahulu adalah umat yang memiliki budaya amat akrab dengan alam. Ekosistem dan kelestarian alam adalah denyut nadi mereka. Kita boleh merujuk tinggalan mereka untuk buktinya.

Tunduk kepada konsumerisme

Seni bina bangunan, inovasi makanan, teknologi bertani dan berlayar, kesusteraan dan kesenian, malah ilmu perubatan, semuanya berjalinan kait-mengait dengan unsur alam.

Malangnya kita ini terjajah selama beratus tahun. Dalam tempoh itu sudah pasti peradaban dan ilmu pengetahuan nenek moyang kita ada yang dirosakkan atau dicuri.

Entah berapa banyak kitab ilmu peradaban kita terlepas dari genggaman. Justeru kita sekarang mungkin cuma kenal kitab perubatan Mujarobat dan kitab ilmu falak Tajul Muluk. Itu pun ramai yang sudah meremehkannya.

Generasi milenium langsung tidak maklum, barangkali.

Tidak mustahil kaedah pertanian secara permakultur yang disohorkan orang Barat sekarang itu asalnya daripada pengetahuan leluhur kita. Mungkin ia merupakan pengetahuan yang disentap keluar semasa negara ini dijajah.

Kita pula disuapkan dengan teknologi yang memporak-perandakan ekosistem alam yang permai. Kita diasuh agar tunduk kepada budaya konsumerisme yang berlebihan agar pasaran dapat terus dijajah secara bawah sedar.

Ada kemungkinan apa yang kita anggap sebagai kemajuan itu telah menghiris kesejahteraan alam yang amat berharga ini secara licik, halus namun membawa kesan parah.

Kelahiran ladang-ladang durian komersial kini mematikan suasana manis musim durian. Sekarang durian sudah tidak bermusim lagi. Ada ringgit, sampailah ia dengan semerbaknya ke pintu rumah.

Pupus sudah budaya balik kampung untuk memakan durian. Suasana tidur di dangau hanya wujud dalam kenangan oleh segelintir kita yang bertuah pernah melaluinya.

Perkataan dangau itu sendiri sudah sangat asing bagi generasi muda. Maknanya satu lagi nilai estitika budaya yang dulu rapat memesrai alam kini sudah tercabut dari minda kita.


UBI MARCHINO ialah pembaca Malaysiakini.

Tulisan ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian portal berita ini.