Skip to main
Logo Malaysiakini

SURAT | Moga tiada badut dalam kabinet baru

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Rakyat sudah tahu. Nama perdana menteri (PM) baru sudah sampai ke pelusuk dunia. Malah perutusan pertama Ismail Sabri sebagai PM telah dihadam oleh semua. Baik bakal anggota kabinet baru mahupun barisan pembangkang.

Kita sebagai rakyat di negara tercinta ini wajar akur dan menerima nama pemegang jawatan yang menjadi igauan selama berminggu di negara ini. Rasanya tidak perlu dirungkaikan susur galur dan rentetan sejarah sehingga terjadinya krisis kepimpinan negara. Semua sudah tahu. Rakyat tua-muda, miskin-kaya, tanpa mengira darjat dan pangkat tahu dan khatam apa yang berlaku di negara ini.

Gebang politik negara tidak lagi menjadi kitab ratib ahli-ahli politik, tetapi turut dizikirkan oleh segenap golongan. Tanpa mengira jumlah kes Covid-19 yang mencecah lebih 20,000 sejak beberapa hari, ratapan politik negara seolah menjadi top chart lagu yang menjadi pujaan dalam dunia hiburan.

Sebelum pelantikan PM, nama-nama seperti Anwar Ibrahim, Ismail Sabri yang disebut-sebut sebagai calon popular dan tidak lupa juga nama-nama yang disebut-sebut sebagai bakal timbalannya, seperti Azmin Ali dan Hamzah Zainuddin juga tidak putus bermain di bibir masing-masing.

Semua akur. Faham dan tahu. Tidak kurang yang menjadi warrior keyboard sehingga mendendangkan nama-nama di atas sebagai pemenang dan bakal PM atau TPM.

Macam-macam yang diperkatakan. Ramai yang terpengaruh sehingga memajukan ulasan-ulasan atau analisis politik separuh masak dan matang tanpa mengira ketulenannya atau kesahihannya.

Akibatnya, kucar-kacir sehingga menjadi keriuhan dalam media sosial sehingga menjadi fenomena yang paling hangat dan tersohor di Malaysia jika tidak di pentas antarabangsa.

Namun seperkara yang pasti, rakyat sudah mula muak. Muak dan meloyakan dengan cara dan permainan yang berlaku dalam pentas politik negara. Bermula dengan Langkah Sheraton yang diketuai oleh juak-juak yang dipimpin oleh watak-watak pengkhianat daripada PKR dan Bersatu sehinggalah kepada percaturan halus oleh kalangan pimpinan tertentu dalam Umno memperlihatkan betapa liciknya dan hanyir dalam politik negara.

Apa yang pasti, selepas ini rakyat tidak mahu lagi melihat deretan nama-nama yang membarisi kabinet atau pimpinan yang sama dalam kancah politik negara. Rakyat tidak lagi ingin melihat proses pengulangan tikaman kawan makan kawan, atau pintu belakang, mahupun tebuk atap. Rakyat ingin melihat pimpinan yang bersih dan mampu turun padang dan melihat sendiri keperitan yang dihadapi ketika ini.

Pak Ali, mahu pemimpinnya melihat dengan dekat bagaimana beliau kais pagi makan pagi dengan mengambil upah mengait buah kelapa sawit yang sentiasa bergenang dengan air banjir. Sementara, Mutusamy mahu pemimpin yang dipilihnya untuk turun melihat bagaimana payahnya dirinya dan isteri yang bersengkang mata mengambil upah menjahit baju untuk jiran dan Ah Seng pula teringin melihat dan mendambakan pelukan ikhlas pemimpinnya yang sanggup turun padang melihat kedai runcitnya yang hampir bangkrap akibat fenomena Covid-19.

Harap bantuan

Ramai lagi di luar sana, termasuk anak-anak muda yang terkesan dengan pandemik yang melanda amat mengharapkan bukan sahaja sekadar bantuan i-sinar, BPR, BPN, GKP, BKC, BSH, Pemulih, Pemerkasa dan segala jenama yang seringkali diumumkan di kaca media tetapi lebih diperlukan adalah pemimpin di negara ini faham dan tahu erti sebenar kesusahan dan derita yang sedang dihadapi.

Kita tidak mahu akan ada lagi pemimpin seperti watak pandir yang hanya gah dari segi nama atau parti yang diwakilinya, tetapi mahu pemimpin yang walk the talk – cakap serupa bikin buat apa yang dikatakan dan dekat dengan rakyat. Sudah-sudahlah dengan segala insiden yang berlaku dalam dunia politik negara. Ditokok pula dengan lelucon atau badut yang dimainkan seperti sidang media insiden pelanggaran LRT sehingga menjadi lawak antarabangsa dan rentetan pelanggaran SOP di kalangan penguasa yang penuh ego serta pelbagai dan insiden yang tidak henti dalam mengurus serta mentadbir negara.

Oleh itu, diharapkan walau siapa sekalipun bakal ahli kabinet, dipohon bakal kabinet baru kelak melihat kembali dan cuba mengelak segala kepincangan yang berlaku sebelum ini. Kita tidak mahu akan ada watak-watak lelucon atau badut dalam filem Musang Berjanggut mewarnai kabinet negara.

Jangan diulangi lawak antarabangsa. Kita mahu Malaysia dikenali sebagai negara yang gah dengan integriti dan wibawa politik. Bukannya dengan rentetan tikaman pintu belakang atau tebuk atap. Atau ditertawakan sebagai PM dan kabinet badut.

Sempena hari kemerdekaan yang bakal menjelang di akhir bulan ini, jadikan keputusan YDPA sebagai platform mereformasi kembali arus politik negara yang kucar kacir sebelum ini. Kita belum terlambat!


MOHD KHALIL SREEDARAN adalah pensyarah di Jabatan Komunikasi, Fakulti Komunikasi, Seni Visual dan Pengkomputeran, Universiti Selangor.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.