Skip to main
Logo Malaysiakini

SURAT | Apa dia ‘Keluarga Malaysia’?

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Jika kita membaca buku The Singapore story: Memoir of Lee Kuan Yew (2000) dan Malaysia Crisis of Identity oleh Lim Kit Siang (1986), mahupun oleh Dr Mahathir melalui Menghadapi Cabaran (1968), Dilema Melayu (1970), A Doctor in the house (2003), kompilasi ucapan Anwar Ibrahim Menangani Perubahan (1986) ataupun memoir allahyarham panglima ATM Jeneral Ibrahim Ismail, kita akan dapati satu titik pertemuan.

Semua buku-buku itu sebenarnya menyampaikan mesej yang sama - kita semua adalah Keluarga Malaysia.

Saya masukkan Lee Kuan Yew kerana bibliografi LKY hampir 90% cerita mengenai Singapura dalam Malaysia.

Pada tahun 2009, saya menyaksikan peristiwa peralihan kuasa daripada Pak Lah kepada Najib Razak di tangga utama bangunan Perdana Putra, Jabatan Perdana Menteri.

Kemudiannya, Najib Razak mempopularkan slogan 1Malaysia dengan menekankan lapan nilai utama.

Saya muncul di Bernama TV (2009) untuk merungkai nilai-nilai 1Malaysia dari sudut patriotisme dan perpaduan.

Semasa Pakatan Harapan memerintah kerajaan Persekutuan (2018), slogan PH ialah Malaysia Baharu.

Saya turut diminta menyampaikan ceramah dan menulis mengenai konsep Malaysia Baharu.

Pandangan saya boleh dibaca di akhbar NST dan Malaysiakini dalam versi Bahasa Inggeris, kerana akhbar berbahasa Melayu tidak menyiarkannya.

Semasa Muhyiddin Yassin mengemudi kerajaan Perikatan Nasional (2020), saya terlibat dalam Focus Group Discussion (FGD) mengenai Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 bersama-sama dengan Institut Masa Depan Malaysia (Institut Masa).

Kini, giliran Ismail Sabri, perdana menteri baru membawa tema Keluarga Malaysia. Apakah unik konsep Keluarga Malaysia berbanding Wawasan 2020, 1Malaysia, Malaysia Baharu, dan WKB 2030?

Definisi Keluarga Malaysia

Pertama, kita mesti memahami latar belakang dan pembangunan sosiopolitik negara pasca-PH dan PN. Kedua-dua kerajaan ini memerintah dalam satu jangkamasa sangat pendek, ianya memberi implikasi besar semasa proses merealisasikan dasar-dasar pembangunan negara khususnya dalam hal-hal kemenjadian nasional (national agenda).

Slogan Malaysia Baharu (PH) dan perancangan WKB2030 (PN) misalnya tidak berjaya sampai ke grassroot kerana dalam psikologi pendidikan, proses ketibaan makna itu perlu melalui jangka masa yang wajar.

Wawasan 2020 era Dr Mahathir Mohamad misalnya secara umum berjaya mengubah landskap negara daripada bercirikan pertanian kepada industri.

Bagi tema Keluarga Malaysia, saya melihat ia suatu permulaan yang baik. Krisis politik telah berakhir dengan baik.

Pemimpin-pemimpin pembangkang seperti Dr Mahathir Mohamad, Anwar Ibrahim, Lim Guan Eng, Mohamad Sabu dan Shafie Apdal memberi komen positif kepada kerajaan baru pimpinan Ismail Sabri.

Rakyat pula menaruh harapan menggunung kepada Ismail Sabri khususnya dalam dua perkara iaitu pencegahan penularan Covid-19 dan pemulihan ekonomi negara.

Jika begitu keadaannya, maka konsep Keluarga Malaysia ini perlu dihayati, didiskusi dan diinstitusikan oleh masyarakat sendiri, bukannya semata-mata oleh kerajaan, supaya ia datang dari rakyat, kepada rakyat dan untuk rakyat !

Pemimpin-pemimpin parti politik, NGO, komuniti di lapangan dan juga kakitangan kerajaan perlu menyerlahkan nilai-nilai Keluarga Malaysia dalam lapangan masyarakat.

Konsep Keluarga Malaysia hendaklah melibatkan fundamental rakyat Malaysia, cinta dan kasih kepada rakyat mestilah merentasi agama, kaum, warna kulit dan sempadan negeri.

Sejarah negara hendaklah dihormati kerana patriotisme tidak muncul kuat tanpa pengalaman suka dan duka pembinaan negara ini. Cinta kepada negara hendaklah satu sahaja yakni kepada Malaysia sahaja.

Antara gambaran awal fokus utama Ismail Sabri ialah akan meneruskan dan menambah baik program pemulihan negara.

Program vaksinasi misalnya, demi memastikan seluruh rakyat menerima vaksin, kerajaan akan menambah 6 juta vaksin lagi supaya usaha ini dapat mengekang penularan virus Covid-19 dan seterusnya menyelamatkan nyawa rakyat di seluruh pelusuk negara.

Dalam konteks ekonomi pula, perdana menteri memberi dua fokus utama iaitu mengembalikan kesejahteraan rakyat melalui kuasa membeli serta mengangkat semula sektor swasta untuk memacu perkembangan ekonomi negara.

Dari segi politik, konsep Keluarga Malaysia berjaya menghimpun suara pemimpin parti-parti pembangkang untuk turut melibatkan diri dalam program pemulihan negara dan Jawatankuasa Khas Covid-19.

Kesimpulan, saya fikir kita berjaya melalui fasa krisis politik yang mencabar.

Terima kasih yang tidak terhingga perlu diangkat kepada DYMM SPB Yang di-Pertuan Agong kerana peranan raja memastikan rakyat dan negara kekal aman, damai dan harmoni.

Kini, tibalah masa kita rakyat Malaysia melupakan sengketa politik, sebaliknya berganding bahu menyelesaikan penularan Covid-19 dan memulihkan ekonomi negara di atas kapasiti kita masing-masing.

Itulah cara kita berterima kasih kepada negara dan Yang di-Pertuan Agong.


DR AL-AZHARRI SIDDIQ KAMUNRI merupakan lulusan pengajian sains politik dalam bidang politik dan kerajaan. Disiplin beliau dalam aspek patriotisme, keselamatan negara dan pembinaan negara bangsa.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.