Skip to main
Logo Malaysiakini

SURAT | Mansuh Auku dan pemilihan menteri - warkah buat PM baru

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Kesatuan Mahasiswa Universiti Malaya (KMUM) mengambil maklum akan peletakan jawatan Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri serta pelantikan Ismail Sabri Yaakob sebagai perdana menteri ke-9. 

Dalam ucapan sulung perdana menteri yang disampaikan oleh Ismail Sabri, beliau telah berkata bahawa “penglibatan anak muda amat dihargai untuk menjayakan agenda besar pemulihan negara.”

KMUM bersetuju dengan penyataan tersebut. Oleh sebab itu, kami ingin mengetengahkan dua agenda yang penting kepada Ismail Sabri bagi menzahirkan satu generasi muda yang berkaliber dan berkebolehan untuk menggerakkan pemulihan negara pada masa hadapan. Agenda-agenda ini adalah tentang:

i. Pemansuhan Akta Universiti & Kolej Universiti 1971 (Auku)

ii. Pelantikan menteri pengajian tinggi baru

KMUM telah menggesa untuk pemansuhan Auku sejak dahulu lagi dan KMUM akan meneruskan perjuangan ini sehingga ia dimansuhkan. Hal ini demikian kerana Auku bukan sahaja menindas hak-hak mahasiswa dari segi kebebasan bersuara dan autonomi kewangan, malah ia juga mengandungi unsur-unsur yang tidak mencerminkan “good governance”.

Sebagai contohnya, pihak pengurusan institut pengajian tinggi awam (IPTA) diberikan kuasa mutlak dalam hampir semua perkara. Namun begitu, banyak keputusan yang telah dilaksanakan tanpa penglibatan wakil mahasiswa dan mahasiswi secara langsung sehingga mencetuskan pelbagai masalah yang berbangkit. 

Karenah birokrasi dalam pengurusan universiti tanah air turut memburukkan situasi ini lagi, khususnya apabila pemimpin mahasiswa tidak mempunyai kuasa untuk berunding dengan pihak universiti untuk memastikan kebajikan pelajar terjamin.

KMUM berharap agar mahasiswa diberikan peluang dan kedudukan yang setara dalam urus tadbir bagi menguruskan hal ehwal mahasiswa melalui kesatuan mahasiswa yang berkhidmat demi mahasiswa dan diiktiraf di bawah undang-undang bagi memperjuangkan hak mahasiswa, di samping membentuk generasi muda yang berketrampilan untuk menggerakkan pemulihan negara.

Selain itu, di bawah Auku, kebanyakan ahli Senat dilantik oleh timbalan naib canselor, yang seterusnya akan dilantik oleh menteri pengajian tinggi. Natijahnya, tidak keterlaluan jika kami berpendapat bahawa sesetengah keputusan Senat dipengaruhi sifat terhutang budi dan tidak berfokus dalam memperjuangkan kebebasan akademik yang banyak berkait rapat dengan kualiti pendidikan mahasiswa.

KMUM berpendapat bahawa Ismail Sabri sebagai seorang bekas pemimpin mahasiswa seharusnya memahami kesusahan dan keburukan yang timbul disebabkan oleh Auku. Oleh sebab itu, KMUM menggesa supaya Auku dimansuhkan selaras dengan prinsip mahasiswa berautonomi.

KMUM juga berpendapat bahawa pelantikan menteri pengajian tinggi yang baru juga merupakan suatu perkara yang penting. Menteri yang memegang portfolio ini perlulah memahami kesulitan dan kesusahan yang dihadapi oleh mahasiswa dan mahasiswi. Beliau juga perlu mempunyai kelayakan dan pengamalan yang bersesuaian supaya dapat meraih kepercayaan golongan mahasiswa.

Hal ini perlu dititikberatkan kerana ia berkait rapat dengan kaliber pemegang jawatan ini untuk memperkenalkan strategi-strategi yang dapat menambah baik kualiti pengajian tinggi serta kebajikan mahasiswa.

Misalnya, keputusan pihak KPT dalam isu membenarkan mahasiswa pulang ke kampus pada bulan Mac yang lalu berakhir dengan sebuah “U-turn” pada saat-saat akhir, adalah

antara contoh kegagalan yang telah membawa pelbagai masalah kepada mahasiswa dan mahasiswi di seluruh Malaysia.

Pengenalan kempen pertandingan menghasilkan video ‘’TikTok’’ juga dianggap tidak memberi apa-apa manfaat kepada peningkatan intelek atau pemeliharaan kebajikan mahasiswa.

Seterusnya, menteri pengajian tinggi juga perlu memberi perhatian terhadap hak-hak pelajar. Hak ini bukan sahaja merangkumi keperluan asas mahasiswa yang merangkumi inisiatif bantuan buat golongan B40 yang berbentuk subsidi kewangan dan peralatan elektronik untuk pembelajaran di atas talian, tetapi ia juga merangkumi hak-hak mahasiswa seperti kebebasan bersuara, hak mengundi bermula daripada umur 18 tahun, autonomi pelajar dan sebagainya.

Sejajar dengan itu, menteri pengajian tinggi tidak boleh mengabaikan agenda pemansuhan Auku.

KMUM berharap agar Ismail Sabri akan mempertimbangkan kedua-dua agenda di atas dengan lebih teliti. Pemansuhan Auku amat penting bagi autonomi pelajar dan kebebasan akademik.

Jawatan menteri pengajian tinggi pula tidak harus dijadikan sebagai cip tawar-menawar untuk meraih sokongan daripada orang lain atau sebagai alat untuk menguasai pemikiran pemuda negara.

Akhir sekali, pihak KMUM juga berharap agar Ismail Sabri mengambil pengajaran daripada kegagalan mantan perdana menteri untuk menjalankan tugasnya sebaik mungkin tanpa mengabaikan hak dan kebajikan rakyat. Selamat berbakti.


Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.