Skip to main
Logo Malaysiakini

SURAT | Berlaku adil dalam memberikan komen

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Merujuk kepada satu artikel komentari oleh R Nadeswaran yang telah diterbitkan oleh portal Malaysiakini pada 22 Ogos 2021, saya berpendapat bahawa komen yang telah beliau nyatakan di dalam artikel tersebut dilakukan dengan niat yang jahat dan tidak berasas sama sekali.

Penulisnya R Nadeswaran telah mengkritik cadangan Zuraida Kamaruddin dalam isu pemantauan terhadap hak wanita dan kanak-kanak perempuan di Afghanistan.

Penulis artikel tersebut juga dengan angkuh menyatakan bahawa YB Datuk tidak peduli dengan nasib wanita dan kanak-kanak di sini dengan mengaitkan ahli parlimen Ampang itu dengan isu perkahwinan bawah umur, dengan mengatakan Zuraida tidak pernah mengeluarkan apa-apa kenyataan mengenai perkara tersebut.

Pertama, isu wanita dan kanak-kanak perempuan di Afghanistan ini adalah isu global dan seharusnya diberikan perhatian oleh setiap insan demi keamanan dan keharmonian sejagat.

Zuraida yang pernah terlibat sendiri dalam misi kemanusiaan di Afghanistan pada tahun 2002, telah menyatakan pendapat beliau bahawa terdapat keperluan untuk kita terus memantau keadaan di sana.

Keberanian beliau dalam menawarkan diri untuk hadir ke sana bukanlah suatu retorik, kerana beliau sememangnya pernah pergi ke sana untuk memberi bantuan dan melihat sendiri bagaimana keadaaan wanita dan kanak-kanak di Afghanistan.

Kedua, sebagai sebuah negara demokrasi, kita sememangnya menghargai sebarang kritikan terhadap pemimpin, namun begitu, kritikan yang diberikan haruslah berasas dan bukannya disulami dengan penipuan.

Nadeswaran telah menuduh Zuraida Kamaruddin bahawa beliau tidak pernah mengeluarkan kenyataan berkenaan isu perkahwinan bawah umur yang berlaku di negara ini. Ini adalah kenyataan yang amat salah dan berniat jahat.

Untuk pengetahuan umum, Zuraida adalah antara pendokong utama usaha untuk memastikan perkahwinan bawah umur dihapuskan terus di negara ini.

Beliau bukan hanya mengeluarkan kenyataan menentang perkahwinan bawah umur, tetapi terlibat secara aktif dengan memberi sokongan dari pelbagai aspek bagi memastikan misi untuk menghentikan perkahwinan bawah umur di negara ini dapat dicapai.

Salah satu daripada kenyataan beliau mengenai isu ini juga disiarkan oleh Malaysiakini dalam artikel berita bertajuk “Poverty no reason to sell your kids” yang telah disiarkan pada 15 Julai 2018.

Zuraida juga merupakan satu-satunya menteri Pakatan Harapan (pada ketika itu) yang menghadiri demonstrasi “Walk the talk to end child marriage” pada tarikh 18 Ogos 2018 di Sunway Pyramid yang menuntut supaya perkahwinan bawah umur dihapuskan sama sekali di Malaysia.

Program tersebut yang dianjurkan oleh beberapa NGO seperti Women's Aid Organisation (WAO), Sisters in Islam (SIS) dan Association of Women Lawyers (AWL) disokong oleh Zuraida dan seluruh jentera politik beliau dari parlimen Ampang ini direkodkan dalam satu artikel berita oleh The Star Women's groups rally at Sunway Pyramid to end child marriage”.

Sekalipun jika kita tidak bersetuju dalam hal-hal berkaitan dengan politik, adalah tidak wajar untuk kita mengeluarkan komen-komen jelik semata-mata ingin memburukkan nama baik seseorang individu.

R Nadeswaran perlu bertanggungjawab dalam setiap perkara yang beliau tuliskan dan memohon maaf kepada Zuraida Kamaruddin diatas kenyataan tidak benar dan beniat jahat ini.


NOR HIZWAN AHMAD ialah pengerusi Penggerak Komuniti Negara Wilayah Persekutuan.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.