Skip to main
Logo Malaysiakini

SURAT | Tak bijak harapkan kejayaan dari formula gagal

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Pengumuman jemaah menteri yang baru nampaknya tidak banyak berubah, baik dari segi saiz mahupun keanggotaan. Apa yang berlaku ialah mereka yang sama dipilih semula, cuma beralih kementerian.

Jemaah menteri kali ini sepatutnya benar-benar dianggotai oleh mereka yang berkebolehan memberi fokus kepada menangani pandemik Covid-19 dan pemulihan ekonomi.

Negara sekarang sedang dalam keadaan kritikal. Jemaah menteri sepatutnya dianggotai oleh mereka yang memiliki merit dalam bidang yang sesuai untuk menggalas tanggungjawab yang sangat mencabar sekarang.

Rakyat sudah banyak menyatakan rasa tidak puas hati terhadap menteri dan timbalan menteri yang tidak berkesan dalam fungsi mereka berbanding gaji dan elaun yang dibayar mencecah puluhan ribu ringgit setiap seorang.

Seperti selalu diingatkan, satu kegilaan jika kita terus melakukan kesilapan sama berkali-kali dengan menginginkan hasil yang berbeza.

Jika ternyata kaedah yang dilakukan oleh orang yang terdahulu gagal, adalah kesilapan besar menggunakan kaedah yang sama oleh pasukan kabinet yang lebih kurang sama.

Masalah pandemik ini sangat jelas sifatnya adalah terlalu mencabar. Pasukan jemaah menteri tidak seharusnya dipilih berdasarkan pertimbangan politik. Sepatutnya ia berdasarkan kepakaran yang tinggi untuk mencari penyelesaian yang tuntas.

Kami berpendapat dalam tempoh kerajaan yang singkat ini, jemaah menteri yang dibentuk sepatutnya bukan untuk memenuhi tuntutan parti politik atau penyokong setia, tetapi hendaklah pasukan yang tepat untuk menyelesai musibah pandemik dan membangun semula ekonomi negara yang sedang lesu.


MOHD AZMI ABDUL HAMID ialah presiden Teras Pengupayaan Melayu (Teras).

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.