Skip to main
Logo Malaysiakini

SURAT | Pastikan tiada campur tangan politik dalam kes serang 'Pak Guard'

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Angkatan Muda Keadilan (AMK) menggesa ketua polis negara dan peguam negara memastikan siasatan yang adil tanpa campur tangan politik dalam kes kematian pengawal keselamatan akibat diserang seorang lelaki yang dipercayai terlibat dalam sebuah parti politik kerajaan.


Baca: Bersatu nafi suspek salah seorang pimpinan parti itu


Rakaman video CCTV yang tular sejak beberapa hari lalu di media sosial mendapat perhatian pelbagai pihak, termasuk kecaman netizen, berikutan insiden seorang lelaki yang sedang bertugas sebagai pengawal keselamatan diserang seorang lelaki pada tahun 2020 di sebuah kondominium sekitar Ipoh.

Berikutan serangan tersebut, pengawal keselamatan bernama S Thavasagayam yang berumur 64 tahun dimasukkan ke hospital dan menerima rawatan selama lapan bulan. Beliau meninggal dunia pada Jumaat laiu dan dalam tempoh itu beliau menjalani pembedahan otak sebanyak lapan kali.

Semalam saya bersama Ketua AMK Selangor Chua Wei Kiat menziarahi keluarga mendiang di kediaman beliau dan menyampaikan sedikit sumbangan mewakili keluarga besar AMK.

Isteri mendiang Thavasagayam, Philomena berkongsi pengalaman beliau selama lapan bulan berada di sisi suaminya melihat penderitaan mendiang berpunca daripada insiden serangan sehingga menghembuskan nafas terakhir di hospital.

Beliau turut berkongsi pengalaman beliau dua kali pergi ke balai polis untuk melaporkan insiden ini namun tidak mendapat layanan yang adil seolah-olah kes ini tidak direkodkan. Isteri mendiang terpaksa menjaga suami beliau seorang diri sehingga beliau dibantu oleh anak saudaranya untuk melaporkan perkara ini.

Menurut beliau pihak polis tidak memandang serius kes ini sehingga video serangan tular di media sosial. Saya memandang serius isu yang dibangkitkan beliau yang juga berkait rapat dengan campur tangan politik.

Dikhabarkan lelaki yang didakwa menyerang 'Pak Guard' adalah ahli sebuah parti politik kerajaan. Ini menimbulkan persoalan apakah status politik lelaki tersebut menjadi penghalang untuk kes ini diselesaikan dengan cepat?

Kini Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengklasifikasikan semula kes ini mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh setelah video tersebut tular dan ini mengakibatkan kecaman orang ramai serta mencalar kredibiliti pihak PDRM.

AMK bersolidariti bersama keluarga mendiang dan turut menuntut keadilan untuk keluarga mendiang. Satu siasatan adil harus dilakukan dan hukuman setimpal perlu dikenakan terhadap pelaku.

Keadilan harus ditegakkan oleh ketua polis negara dan peguam negara tanpa sebarang campur tangan politik dalam kes ini. Semoga Mak Cik Philomena yang terpaksa meneruskan kehidupan seorang diri kekal tabah menghadapi dugaan ini.


THIBAN SUBBRAMANIAM ialah naib ketua AMK.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.