Skip to main
Logo Malaysiakini

SURAT | Pengiring Ziyad patut dikenakan tindakan tegas

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

SURAT | Hari ini masih hangat isu pingat emas atlet paralimpik bagi acara lontar peluru, Muhammad Ziyad Zolkefli, ditarik walaupun dia berjaya memecahkan rekod dunia di Tokyo.

Pada awalnya, rakyat dikhabarkan bahawa pingat emas Ziyad ditarik kerana protes dari Ukraine namun sedikit demi sedikit berita yang sampai ialah atlet berkenaan terlewat memasuki call room tepat pada masanya.

Saya melihat isu ini sebenarnya adalah sikap tidak bertanggungjawab pegawai pengiring Ziyad yang sepatutnya memastikan atlet tersebut datang tepat pada masanya.

Bagaimana pegawai pengiring atlet boleh terlepas pandang peraturan sukan di kejohanan terbesar dunia ini?

Ziyad sudah meminta maaf atas kegagalan membawa pulang pingat emas tetapi kegagalan itu bukan datang daripada atlet sebaliknya pegawai yang menjadi pengiring.

Saya menyeru supaya Menteri Belia dan Sukan Ahmad Faizal Azumu mengambil tindakan tegas terhadap pegawai tersebut sehingga mengakibatkan kemenangan Malaysia tidak diiktiraf.

Pegawai tersebut wajar dinamakan dan ditamatkan perkhidmatan serta-merta atas kegagalannya membantu atlet pada kejohanan tersebut.

Insiden ini juga menggambarkan negara Malaysia mengambil remeh isu-isu teknikal malah dilihat tidak menghormati the rule of sports serta budaya tidak mematuhi masa yang akhirnya memakan diri.

Perkataan maaf bukan seharusnya datang dari Ziyad Zolkefli tetapi pegawai pengiring.


YUSLAINI AZMI merupakan aktivis sukan dari Terengganu.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.