Skip to main
Logo Malaysiakini

SURAT | Masukkan hak alam sekitar bersih, mampan dalam perlembagaan - CAP

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

SURAT | Ketika dunia berdepan dengan krisis sedia ada – di mana ramai penduduk tidak menghirup udara yang bersih, kekurangan kemudahan bekalan air bersih selain ketiadaan kediaman yang selamat dan bersih untuk didiami; lebih-lebih lagi pada waktu pandemik dan krisis perubahan cuaca masa kini – Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) mengalu-alukan langkah Panel Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) yang memperakui hak untuk mendapatkan alam sekitar yang bersih dan mampan sebagai hak asasi manusia.

Hak kemanusiaan ini menjadi tonggak bagi keadilan alam sekitar dan perlindungan alam sekitar terhadap pembangunan ekonomi yang tidak mampu bertahan, yang mencemarkan dan memusnahkan mata pencarian dan habitat khususnya golongan miskin, yang tidak mempunyai kelengkapan untuk melawan pengaruh dan kuasa kerajaan negeri, pemaju kaya, golongan industrialis mahupun pihak perbadanan.

Badan pejuang utama hak asasi manusia PBB mengundi untuk menerima pakai resolusi berkenaan dengan 43 undi menyokong sementara China, India, Jepun dan Rusia berkecuali daripada mengundi.

Amerika Syarikat (AS) pula bukan anggota Majlis Hak Asasi Manusia dan tidak menyertai undian tersebut.

CAP berang berikutan negara-negara besar dan berkuasa di dunia mengecualikan diri daripada mengundi dan AS (walaupun bukan menjadi anggota Majlis Hak Asasi Manusia ketika pentadbiran Trump pada 2018) menentang langkah tersebut.

Gambar fail, sidang Majlis Hak Asasi PBB.

Sebenarnya ia merupakan desakan dari negara-negara yang lebih kecil agar Majlis Hak Asasi Manusia PBB memperakui hak untuk mendapatkan persekitaran yang bersih dan selamat, kerana merekalah yang akan menerima kesan paling teruk, walaupun mereka bukanlah penyumbang utama krisis alam sekitar global.

Ini merupakan perakuan utama bagi penduduk seluruh dunia dalam perjuangan ke arah keadilan untuk alam sekitar, tempat yang bersih dan selamat untuk layak digelar “rumah” , dan hak untuk mendapatkan sumber-sumber yang memberikan hayat kepada kehidupan yang selamat dan bersih seperti udara dan air.

Ini memberikan kuasa bersuara yang lebih lantang kepada penduduk terhadap projek-projek pembangunan yang tidak mampan, yang dikendalikan oleh pihak berkuasa awam dan entiti persendirian.

CAP menggesa kerajaan Malaysia agar memasukkan hak asasi manusia untuk mendapatkan persekitaran yang bersih dan mampan dalam Perlembagaan negara.

Lebih 100 perlembagaan di seluruh dunia telah mengguna pakai hak kemanusiaan terhadap persekitaran yang sihat.

Tidak ada mana-mana hak sosial mahupun ekonomi yang merebak secepat itu menerusi perlembagaan dunia.

Portugal (1976) dan Sepanyol (1978) merupakan negara pertama yang memperakui hak untuk tinggal dalam persekitaran yang menyihatkan.

Pada 2008, Ecuador menjadi negara pertama di dunia yang mengiktiraf hak terhadap alam dalam perlembagaan secara jelas, diikuti oleh Bolivia pada 2009.

Penduduk Malaysia sudah lama menderita akibat masalah pemotongan bekalan air disebabkan pencemaran air (dengan jutaan orang terjejas di Lembah Kelang, sementara ribuan yang lain jatuh sakit dan sekolah terpaksa ditutup di kawasan sungai Kim Kim yang tercemar), jerebu merentasi sempadan, dan kemusnahan mata pencarian dan perpindahan akibat projek pembangunan besar.

Sudah tiba masanya bagi Malaysia memasukkan hak untuk mendapatkan persekitaran yang bersih dan mampan dalam Perlembagaan demi membantu rakyat melindungi dan menegakkan hak mereka bagi mendapatkan tempat tinggal yang selamat dan menyihatkan yang boleh digelar “rumah”.


MOHIDEEN ABDUL KADER ialah Presiden Persatuan Pengguna-Pengguna Pulau Pinang (CAP).

Artikel ini pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.