SURAT | Lebuh raya bukan litar lumba
Terdapat pihak yang masih menganggap lebuh raya yang dikongsi bersama sebagai litar lumba.
Ini jelas apabila ramai pemilik kenderaan memecut dan memandu secara berbahaya.
Saya sendiri berdepan dengan situasi tersebut minggu lepas ketika perjalanan balik ke Kuala Lumpur apabila satu kumpulan supercar memecut di Lebuh Raya Utara Selatan tanpa menghiraukan had laju serta peraturan trafik.
Aksi mereka hanya akan mendatangkan padah dan mengundangkan bahaya kepada pengguna jalan raya yang lain.
Perkara ini bukan asing di negara kita.
Kegiatan lumba haram, pemanduan bahaya serta laju adalah sikap yang masih membelenggu pengguna jalan raya sejak dulu tanpa mengira jenis kereta - berkuasa tinggi atau tidak.
Tiada sesiapa pun mempunyai hak untuk berbuat demikian.
Tidak adil untuk orang lain menanggung bala akibat daripada sikap dan mentaliti sesetengah pemandu yang degil serta pentingkan diri sendiri.
Ini bukan persoalan kompromi. Apa yang pasti pemanduan secara laju dan bahaya hanya akan meningkatkan risiko kemalangan maut.
Namun masih terdapat mereka yang ingkar dan degil.
Negara masih bertarung dengan pandemik Covid-19. Para petugas barisan hadapan perlu berdepan dengan banyak perkara yang lebih mustahak.
Oleh itu, mereka yang masih tidak mahu bertaubat, mungkin ini adalah masa yang terbaik untuk melakukan muhasabah diri.
Perlu diingati bahawa malang tidak berbau. Sayangilah nyawa anda serta orang lain. Jangan ambil risiko yang tidak perlu.
YEAP MING LIONG
Subang Jaya, Selangor
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai