Skip to main
Logo Malaysiakini

SURAT | Kabinet terbukti gagal tangani kesusahan rakyat hadapi banjir

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

SURAT | Selepas menyertai misi bantuan pascabanjir di Hulu Langat dan Taman Sri Muda pada minggu lalu, saya mendapati keadaan adalah membimbangkan walaupun ada ramai sukarelawan dari seluruh negara datang membantu, selain pihak berkuasa tempatan (PBT) yang mengerahkan segala sumber untuk membersihkan kawasan terkesan.

Namun, perkembangan pembersihan persekitaran kawasan banjir masih lambat, mengakibatkan mangsa terpaksa hidup dengan bau busuk dari sampah yang dibuang di halaman rumah dan persekitaran yang buruk sementara menunggu sampah dilupuskan.

Memandangkan kekangan sumber dan aset yang dihadapi NGO, PBT dan negeri, kerajaan pusat seharusnya mengerahkan lebih banyak sumber manusia dan aset dari seluruh negara untuk mempercepatkan pembersihan kawasan terkesan.

Kerahan daripada agensi dan jabatan kerajaan persekutuan seperti Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia (JPS) boleh membantu mempercepatkan proses pembersihan dan pelupusan sampah untuk memulihkan persekitaran yang sihat dan bersih bagi penduduk.

Kepimpinan dan sistem pentadbiran negara teruji oleh bencana yang berskala besar ini. Kelemahannya mudah menonjol dan memerlukan tindakan segera untuk penambahbaikan demi kelangsungan rakyat hidup seperti biasa.

Inilah nasib rakyat Malaysia di bawah kerajaan yang dipimpin oleh konco-konco Perikatan Nasional (PN) dan BN yang mencabuli kehendak demokrasi daripada rakyat.

Sudahlah berdepan banjir dan tidak dibantu dengan segera, ada menteri yang hilang bercuti ke luar negara sehingga dipanggil pulang. Menteri yang ada pula, bermain ‘wayang’ untuk kempen perhubungan awam mereka.

Perdana menteri mahupun menteri terbukti gagal bukan sahaja pada awal misi menyelamatkan mangsa banjir tetapi juga gagal teruk misi bantuan pascabanjir.

Jika kerajaan pusat cuma duduk dan lihat sambil berharap kepada NGO dan sokongan peribadi masyarakat sahaja dalam hal ini, baik mereka meletakkan jawatan dan memberikan laluan kepada NGO atau pembangkang untuk mentadbir urus negara ini.


LOH KER CHEAN ialah pengarah komunikasi Wanita PKR.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.