Skip to main
Logo Malaysiakini

SURAT | Pengajaran dari banjir

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

SURAT | Pertama sekali, penulis ingin mengucapkan salam takziah kepada keluarga mangsa yang terkorban akibat bencana banjir yang berlaku baru-baru ini. 

Sudah pasti kehilangan harta benda cukup menyentuh perasan, inikan pula kehilangan orang yang tersayang. Terima kasih kepada mereka yang turun membantu di lapangan sama ada pertubuhan NGO, persendirian dan sebagainya yang membantu meringankan beban mangsa yang terlibat.

Tatkala negara kita sedang berhadapan dengan varian baru Covid-19, diuji pula dengan bencana banjir yang amat dahsyat. Adakah ini bala daripada Tuhan atau ujian daripadaNya? Penulis percaya bahawa setiap perkara yang berlaku pasti ada pengajaran yang boleh diambil sebagai iktibar untuk kita semua.

Sekiranya berlaku sesuatu peristiwa bencana, pasti ada sebilangan daripada kita akan menghukum dengan mudah bahawa perkara ini berlaku akibat daripada dosa dan kemaksiatan yang dilakukan oleh manusia. 

Tidak dinafikan bahawa setiap manusia pasti akan melakukan dosa dan kesilapan kerana itulah fitrah seorang manusia yang diciptakan oleh Tuhan.

Namun, tidak mudah bagi kita sebagai seorang manusia yang kerdil ini untuk mengambil alih kerja Tuhan dengan mengatakan bahawa ini semua balasan atau bala daripada Tuhan. Sekiranya Tuhan memberi bala kepada kita semua, pasti ada pengajaran yang boleh diambil kira.

Dalam al-Quran juga ada menceritakan tentang pelbagai peristiwa besar yang berlaku semasa kehidupan para nabi dan rasul. Sebagai contoh, kaum Sadom (Nabi Lut As) telah diturunkan azab oleh Allah akibat daripada perbuatan homoseksual yang mereka amalkan. 

Kaum Tsamud (Nasi Soleh As) juga diturunkan azab akibat sikap bongkak dan angkuh mereka kerana hidup dalam kemewahan. Semua peristiwa yang berlaku ini memberi ibrah dan pengajaran kepada kita semua untuk sentiasa mentaati perintah Tuhan dan menjauhi laranganNya.

Jadi, apakah pengajaran yang kita perolehi daripada peristiwa banjir ini? Salah satunya kita dapat menyaksikan bahawa rakyat Malaysia bersatu hati dan saling membantu mangsa yang terjejas dengan memberikan bantuan seperti menyediakan makanan, tempat berteduh dan sebagainya tanpa mengira latar belakang kaum dan agama. 

Semangat dan kasih sayang yang ditunjukan ini perlu dicatatkan supaya dapat dijadikan sebagai pengajaran untuk generasi yang akan datang.

Seterusnya, kita dapat menilai dan memperbaiki kelemahan sedia ada seperti mempertingkatkan sistem perairan air yang lemah, membuat persediaan untuk menghadapi sebarang bencana dan menjaga dan membersihkan alam sekitar daripada sebarang pencemaran.

Akhir kata, tidak adil sekiranya kita menghukum mereka secara keseluruhan atas nama mencegah kemaksiatan. Maksiat itu bukan hanya sekadar berkhalwat dan berhibur. 

Kenapa tidak kita katakan bencana ini berlaku disebabkan oleh pemimpin yang korup, salah guna kuasa, penindas dan menjarah alam sekitar disebabkan ingin mengaut kekayaan?


MUHAMMAD AZHA SALAHUDIN merupakan aktivis NGO Pertubuhan Angkatan Demokrat Berjiwa Rakyat (ADAT).

Tulisan ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.