SURAT | Suka dan duka 2021: Sudah sedarkah kita?
SURAT | Pelbagai peristiwa melatari perjalanan kehidupan rakyat Malaysia pada 2021 lalu. Boleh jadi sesetengahnya menjadi ingatan yang sangat mengesankan kepada sesiapa yang melaluinya.
Perintah kawalan pergerakan (PKP) yang dikuatkuasakan sejak 2020 lalu misalnya membataskan ramai orang untuk bertemu ibu bapa di kampung, sanak keluarga apalagi rakan taulan. Hingga ada antara mereka kehilangan insan tersayang berikutan wabak Covid-19 yang membunuh itu.
Bukan itu sahaja, kerana ujian pandemik yang melanda ramai rakyat Malaysia merasai peritnya kehilangan nyawa, pasangan, kerja dan sumber pendapatan.
Tidak kurang juga yang mengalami tekanan emosi dan mental kerana pendemik itu. Pelbagai isu yang terpaksa dihadapi rakyat, apatah lagi dalam keadaan ‘paksa rela’ tidak boleh ke mana-mana. Ujian yang bukan sedikit perlu didepani, walaupun tiada siapa yang menghendaki.
Semua itu kita dapat lihat realitinya di media sosial, keluhan demi keluhan, kegusaran demi kegusaran bagaimana untuk terus melaluinya.
Pergolakan politik negara yang tidak menentu sedikit sebanyak memberikan tempias kepada keharmonian negara. Seakan-akan tiada belas ihsan kepada rakyat yang tersepit dengan situasi yang melanda.
Dan sekali lagi dalam tempoh kurang dari lima tahun, negara ini bertukar kepimpinan negaranya lagi.
Kesihatan mental terjejas teruk
Kerana wabak yang melanda itu juga, agenda-agenda yang biasanya dilakukan tidak dapat dilaksanakan berikutan beberapa faktor, termasuk prosedur operasi standard (SOP) yang kadang-kadang pelaksanaannya tidak adil dan memihak pihak-pihak tertentu.
Kekecewaan rakyat terhadap tampuk pemerintahan baru makin meruncing. Hari demi hari, rakyat seolah-olah terpaksa bangun membela nasib sendiri. Maka benarlah juga slogan “kita jaga kita “ itu.
Isu kelaparan yang dihadapi rakyat, kesempitan hidup, pendidikan juga masalah sosial rakyat yang masih belum nampak noktahnya.
Pelaksanaan sistem pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) yang sangat mencabar bagi sebahagian guru dan pelajar, menjadikan pembelajaran agak tidak melaju.
Masalah ketiadaan gajet dan kelajuan Internet menjadi faktor kekangan utama. Berikutan pandemik itu juga, sistem ekonomi negara terjejas teruk. Selain isu kewangan, ia turut menjejaskan kesihatan mental rakyat.
“Seperti sewaktu PKP 1.0 terdapat banyak kes membabitkan masalah mental, kes bunuh diri juga banyak berlaku, cuma kita tidak hebohkan perkara ini,” kata Menteri Kanan Keselamatan, Sri Ismail Sabri Yaakob (yang kini Perdana Menteri Malaysia) pada sidang akhbar yang disiarkan media pada 22 Mei 2021.
Berdasarkan statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang disiarkan media pada 18 Nov 2020, ada sebanyak 266 kes bunuh diri dilaporkan antara 18 Mac hingga 30 Okt iaitu ketika PKP 1.0.
Itu adalah angka yang disiarkan. Mungkin angka sebenar ia lebih tinggi dan kita belum lagi melihat statistik terkini. Bagaimanakah kesihatan mental rakyat Malaysia sekarang?
Di manakah penyelesaiannya? Apakah tindakan atau strategi yang akan dilakukan jika segala itu terjadi dan terjadi lagi? Ia seakan tiada kesudahan walaupun 2022 sudah membuka tirainya.
Meninggalkan kesan mendalam
Kehidupan rakyat terus terumbang-ambing dek kerana rakusnya mereka yang berkuasa atau dungunya mereka yang perlu memikirkan dan merancang strategi mengeluarkan rakyat dari kemelut ini.
Apa pula kesudahan cerita Allahyarham Adib Mohd Kassim yang hangat suatu dahulu? Lembaran ini seharusnya dibuka sentiasa, sehingga pembunuhnya dibawa ke muka pengadilan.
Jangan sampai apabila bertukar kuasa pemerintahan, barulah isu ini akan dihangatkan semula.
Teruslah perjuangkan isu rakyat ini sebagaimana slogan Keluarga Malaysia yang dibawa Perdana Menteri Malaysia pada awal dia memegang tampuk kuasa.
Seperti yang disebut oleh Atriza Umar dalam artikelnya yang bertajuk Kes Adib: Dulu berkokok, sekarang menyorok? yang diterbitkan di portal Ikram pada 7 Okt 2021: “Semoga keadilan dan kebenaran terus ditegakkan tanpa mengira masa dan tempat, tanpa memilih bulu dan darjat, tanpa melihat musuh atau sahabat.”
Jika dilihat hujung tahun 2021 - tepatnya Dis - ia diakhiri dengan ujian yang tidak berkesudahan. Banjir melanda di beberapa negeri itu sangat meninggalkan kesan yang mendalam kepada ramai orang.
Segala harta benda tenggelam sekelip mata. Banjir yang melanda seakan tiada memberi isyarat kepada sesiapa. Ditambah pula tindakan pihak berkuasa menangani situasi yang terjadi sangatlah lembab.
Hakikatnya, rakyat baru saja menarik nafas lega, menjalani kehidupan seperti biasa dan melakukan kerja-kerja untuk kelangsungan hidup setelah lama terkurung.
Sewajarnya pelbagai inisiatif disegerakan oleh pihak kerajaan bagi menangani pelbagai permasalahan rakyat dan bukan sebaliknya.
Rakyat bukanlah tidak boleh menerima takdir ujian dan musibah, cuma kira kesal dengan cara dan tindakan pihak berkuasa menangani tragedi banjir itu dengan acuh tidak acuh.
Sepatutnya isu perbezaan fahaman politik dan birokrasi dibuang jauh-jauh ketika berhadapan dengan bencana kemanusiaan ini.
Justeru, sebagai rakyat Malaysia, tentunya kita mengharapkan agar negara ini kembali ke arah yang lebih baik: tanpa Covid-19, tanpa rasuah, tanpa penunggang agama, tanpa maksiat, tanpa penindasan, tanpa pembohongan dan tanpa keburukan yang tidak diingini.
DR HAMIDAH MAT ialah penasihat Pertubuhan Ilmuwan Dan Cendekiawan Muslim Malaysia (Ilman) dan aktivis Pertubuhan Ikram Malaysia.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai