Skip to main
Logo Malaysiakini

SURAT | Tindakan Zii Jia tak mengejutkan

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

SURAT | Kecoh tentang isu pemain perseorangan nombor satu lelaki negara, Lee Zii Jia, yang mengambil keputusan untuk meninggalkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

Keputusan Lee Zii Jia memang mengejutkan apatah lagi Zii Jia sedang berada dalam prestasi yang boleh dikatakan begitu baik.

Penarikan diri atlet itu menimbulkan pelbagai reaksi dalam kalangan rakyat Malaysia.

Zii Jia dalam kenyataannya juga menyatakan sudah mendapatkan nasihat daripada legenda badminton negara Lee Chong Wei sebelum membuat keputusan tersebut.

Pada hemat saya, keputusan Zii Jia hanya menggambarkan realiti dalam persatuan sukan kebangsaan di negara kita. BAM contohnya berulang kali mengulangi kesilapan sama apabila hanya memfokuskan hanya pada satu sosok pemain negara sebagai pertaruhan menghadapi kejohanan antarabangsa sehingga mengabaikan tekanan yang dihadapi para atlet.

Sepatutnya antara tugas persatuan sukan kebangsaan ialah mencungkil bakat baru dari peringkat akar umbi, bukannya terus-terusan bergantung kepada atlet yang sama pada setiap kali kejohanan berlangsung.

Jika kita melihat ke Indonesia, China, Korea Selatan dan Jepun khususnya mereka secara tekal melahirkan pelapis dalam mana-mana sukan. Namun ia tidak berlaku di Malaysia.

Kita hanya dapat melihat pengganti Chong Wei setelah dia bersara. Begitu juga dengan sukan renang, bola sepak, olahraga dan sebagainya.

Di negara lain, jika pemain utama mereka direhatkan, akan ada atlet pelapis ditonjolkan sekali gus ia memberi peluang kepada mereka mendapat pendedahan di peringkat antarabangsa.

Pada masa sama, jangan dilupakan juga dakwaan cubaan campur tangan yang cuba mengatur perlawanan sewaktu Sukan Asia Doha 2006 dulu. Apa yang terjadi itu hanya mendedahkan betapa rasuah dalam sukan sudah menyelubungi sukan negara dan akhirnya memperjudikan bakat atlet negara.

Malah isu persatuan yang rata-ratanya dicengkam oleh orang politik mengakibatkan dunia sukan kita semakin parah. Sepatutnya persatuan sukan perlu dibebaskan daripada cengkaman orang politik. Ia sebaiknya diuruskan oleh orang yang memang pakar dalam disiplin pengurusan sukan.

Pengunduran Zii Jia ini bukanlah yang pertama di negara ini. Nama-nama besar lain seperti Joseph Schooling, Celine Chuang, Cindy Ong, Kean Yew adalah atlet yang diambil oleh negara lain untuk di asah bakatnya di peringkat antarabangsa dan ini sangat merugikan negara.

Kita boleh menjadi hub sukan terbesar Asia Tenggara jika mempunyai sistem pengurusan sukan yang betul. Namun hari ini jelas bakat sukan negara kita kian disisihkan.

Menteri Belia dan Sukan, Ahmad Faizal Azumu, perlu mengemukakan satu pelan penyelesaian jangka panjang untuk mengatasi masalah ini.

Namun melihatkan peruntukan atlet berprestasi tinggi negara pun dipotong, saya khuatir melihat masa depan mereka yang kian kelam.


Yuslaini Azmi ialah ketua wanita muda Terengganu.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.