Skip to main
Logo Malaysiakini

SURAT | Pak Belang yang malang

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

SURAT | Saya mempunyai pengalaman peribadi mendengar gempita ngauman harimau di tengah kawasan belantara tebal Pahang.

Amat berbeza perasaan dan naluri kita apabila mendengar ngauman raja rimba itu di habitat semula jadi mereka. Tidak sama langsung perasaan kita jika sekadar mendengar suaranya di zoo.

Sejurus ngauman itu berhenti, bulu roma saya menegak diusik rasa gementar. Alam belantara menjadi senyap dan hening buat seketika. Terhenti segala kicauan burung, senyap menikus segala mamalia.

Waima riang-riang pun berhenti menyanyi.

Tepat sekali gelaran orang tua-tua kita untuk haiwan itu: maharaja rimba. Ia haiwan yang mesti dihormati keperkasaannya.

Semenjak berkurun-kurun lalu binatang itu tidak pernah gagal membuat manusia terpesona. Justeru imej mereka menjadi pilihan untuk muncul dalam pelbagai bentuk, termasuk simbol politik atau budaya.

Orang Rom menjadikan harimau sebagai sebahagian daripada punca keseronokan apabila ia dipertembungkan dengan manusia di Colosseum.

Haiwan phantera tigris itu merupakan keluarga kucing yang sangat perkasa.

Jangka hayat harimau ialah antara 10 hingga 15 tahun. Dikhabarkan populasinya semakin berkurangan sekarang. Kajian menunjukkan semakin hari ia kian menyusut dan risiko untuk pupus semakin ketara.

Di sebalik sifat semula jadi harimau yang ganas lagi tangkas itu, ancaman terbesar terhadap kelangsungan mereka ialah manusia. Maksudnya, keberadaan manusia lebih berbahaya buat harimau berbanding sebaliknya.

Harimau merupakan mamalia yang pemalu dan biasanya akan mengelak seboleh mungkin daripada berkonflik dengan manusia. Jika ada kes haiwan itu menyerang manusia, ia biasanya akibat daripada sikap kita sendiri.

Harimah akan bersikap ganas hanya jika cedera atau berasa terancam.

Faktor yang boleh menyumbang kepada kepupusan harimau antaranya ialah kegiatan pemburu haram. Ia sukar dibanteras nilai haiwan itu di pasaran gelap sangat tinggi.

Kemusnahan habitat semula jadi akibat penebangan balak dan pembersihan hutan tidak terkawal juga menjadi ancaman terkini haiwan berkenaan.

Zon keliaran yang sesuai dan sihat untuk seekor ialah antara 200km ke 1,000km persegi. Ciri-ciri habitat yang subur bagi harimau mestilah hutan belantara yang rimbun, mempunyai padang rumput semula jadi, ada bencah paya dan sungai sebagai sumber air.

Harimau ada dalam rantaian makanan dan ekosistem alam semula jadi manusia. Jika ia terputus maka ekosistem menjadi rosak dan perlahan-lahan mengancam kestabilan dan kesejahteraan manusia.

Justeru ekosistem kita mesti dijaga dan diurus dengan cermat oleh orang yang mahir. Pengurusan yang dipengaruhi nafsu mesti dihalang. Bahkan itu adalah ancaman paling bahaya, kerana tanpa sedar manusia terbabit sedang menternak harimaunya sendiri.

Ia adalah harimau yang tidak pernah puas, tidak tahu malu dan tidak tahu batasan.

Kita bertanggungjawab mengalas amanah sebagai penjaga alam ini. Tuhan pasti memperhitungkan sikap kita nanti.


UBI MARCHINO ialah jurupandu alam semula jadi.

Ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.