Skip to main
Logo Malaysiakini

SURAT | Jika Bersatu tak mahu lagi Ismail Sabri, umumlah

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Ketua Penerangan Bersatu, Wan Saiful Wan Jan, perlu mendapat kepastian daripada partinya sama ada mahu terus menyokong kepimpinan Ismail Sabri Yaakob atau tidak.

Membuat kenyataan berulang kali bahawa sokongan Bersatu terhadap perdana menteri adalah bersyarat tidak membawa apa-apa kebaikan kepada kestabilan politik nasional mahu pun kerajaan hari ini.

Mendakwa Ismail Sabri Yaakob menjadi perdana menteri atas sokongan Bersatu dan bukannya Umno juga tidak tepat. Ismail Sabri menjadi perdana menteri kerana dukungan ahli-ahli parlimen dalam Umno, Bersatu, PAS, Gabungan Parti Sarawak dan lain-lain ahli [arlimen.

Bersatu sahaja tidak cukup untuk mengangkat Ismail Sabri sebagai perdana menteri. Sama juga seperti Bersatu sahaja tidak mampu mengangkat Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri.

Justeru Bersatu dan semua pihak perlu sedar kedudukan Ismail Sabri didokong oleh pelbagai parti, bukannya satu parti sahaja. 

Sudah tentu sokongan Bersatu kepada Ismail Sabri bersyarat seperti mana juga sokongan Umno kepada Muhyiddin Yassin suatu ketika dahulu. Jika Wan Saiful merasakan Bersatu tidak lagi mahu menyokong Ismail Sabri maka mereka boleh mengumumkan keputusan tersebut. 

Jika Bersatu berpendapat kerajaan ini perlu kekal sehingga tamat tempoh, maka orang seperti Wan Saiful perlu bertindak seperti pemain politik yang matang, bukannya bersikap keanak-anakan, marahkan nyamuk kelambu dibakar.

Setakat ini perdana menteri telah sedaya upaya melakukan yang terbaik untuk rakyat dan negara di sebalik kekangan kewangan kerajaan dan tekanan politik pelbagai pihak yang berkepentingan. 

Tentulah dalam kempen pilihan raya negeri Johor ini, Bersatu rasa tersepit dan terhimpit dengan keputusan Umno untuk tidak bekerjasama. 

Namun ini bukan isu baharu. Sebelum Bersatu menyokong Ismail Sabri sebagai perdana menteri pun Umno telah membuat keputusan menolak kerjasama dengan Bersatu dalam pilihan raya. 

Justeru faktor ini tidak seharusnya dijadikan alasan untuk menyerang perdana menteri. Kata orang jangan lain yang bengkak, lain pula yang bernanah. 


NAZIR HUSSIN AKHTAR HUSSIN ialah ketua Pemuda Umno Titiwangsa.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.