Skip to main
Logo Malaysiakini

SURAT | Adakah Najib masih memiliki sifat malu?

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

SURAT | Sejak kecil lagi, rata-rata orang Melayu pasti meningatkan anak-anak bahawa malu itu adalah sebahagian daripada Islam.

Malu mempunyai pengertian yang besar dalam agama. Sifat malu adalah sebahagian daripada kesempurnaan iman seseorang. Mereka yang telah hilang sifat malu adalah orang yang tipis imannya.

Hal itu kerana malu dan iman berjalan seiringan. Jika salah satu daripada sifat itu ditinggalkan, maka kedua-duanya akan hilang.

Sebab itu, apabila ada pemimpin politik dilihat seperti memperlekehkan sifat malu, mempromosi diri dengan kata pikat "Malu Apa Bosku" justeru yang terlihat ialah dia seolah-olah tidak perlu malu pun dengan sebarang kelakuannya, termasuk yang negatif.

Rasanya semua tahu itu adalah slogan dilaungkan Najib Razak dan penyokong-penyokongnya. Ia bukan saja kekal malah semakin hebat dilaungkan walaupun bekas perdana menteri itu sudah disabitkan bersalah atas tuduhan salah guna kuasa dan rasuah.

Dia dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. Apabila sabitan itu dirayu ke peringkat lebih tinggi, tiga hakim Mahkamah Rayuan sepakat menolaknya.

Setakat ini secara keseluruhannya, empat hakim yang bijaksana - seorang di mahkamah tinggi dan tiga di Mahkamah Rayuan - mendapati Najib bersalah.

Perkara biasa dalam politik

Bukan itu sahaja, bekas Presiden Umno dan kini Pengerusi Lembaga Penasihat BN itu masih dibicarakan untuk pelbagai lagi kes jenayah yang sebelum ini mencalar reputasi negara kita.

Justeru, apabila Muhyiddin Yassin baru-baru ini meminta Najib supaya ada sedikit rasa malu, saya melihat ia bukanlah satu kesalahan. Sebaliknya ia permintaan yang wajar kerana ahli parlimen Pekan itu semakin hari semakin dilihat seperti tidak langsung mempunyai sifat malu yang sesungguhnya mempunyai pengertian sangat besar dalam Islam.

Kenyataan Muhyiddin dibalas Najib. Dia menuduh pengerusi Perikatan Nasional (PN) dan Presiden Bersatu itu sebagai hipokrit. Tetapi hakikatnya Najib sedang menepuk air di dulang.

Memang ada ketikanya wujud tuduhan liar dan fitnah terhadap Muhyiddin, tetapi semua itu perkara biasa dalam politik. Namun adakah pernah Muhyiddin didakwa di mahkamah?

Jadi, saya melihat tidak ada salah pun apabila Muhyiddin melahirkan rasa lega kerana tidak perlu lagi bekerjasama dengan parti yang masih menjulang seseorang yang sudah disabitkan bersalah oleh mahkamah.

Namun Najib membalasnya dengan mengungkit bahawa Muhyiddin tidak akan mampu menjadi perdana menteri pada Mac 2020 tanpa sokongan daripada Umno.

Rasanya rakyat masih ingat kenyataan tegas Muhyiddin ketika menjadi perdana menteri kelapan bahawa dia tidak akan melayan sebarang permintaan untuk campur tangan dalam sistem kehakiman negara.

Malah, ada pendedahan bahawa Najib ketika itu mahu Muhyiddin menyingkirkan Gopal Sri Ram yang bertindak sebagai timbalan pendakwa rayat daripada pasukan pendakwaan.

Tidak ada kredibiliti

Muhyiddin enggan melayan permintaan itu dan akibatnya, dia kehilangan jawatan pada Ogos tahun lalu berikutan penarikan sokongan pemimpin-pemimpin Umno dikaitkan dengan kluster mahkamah yang diketuai Najib.

Kini, Muhyiddin bukan lagi perdana menteri, namun dia dilihat kekal mempertahankan prinsipnya dengan menjauhkan diri daripada pemimpin-pemimpin politik seperti Najib yang masih berpengaruh dalam Umno.

Dalam erti kata lain, Muhyiddin kekal tidak mahu bekerjasama dengan penjenayah kerana ia adalah perbuatan yang memalukan.

Untuk Najib, dia tidak layak mempersoalkan mengapa Muhyiddin tidak malu menerima sokongan Umno yang mengangkatnya sebagai perdana menteri.

Dia tidak mempunyai kredibiliti untuk bercakap tentang 'malu' ketika Mahkamah Rayuan sudah merujuk tindakannya berkaitan kes penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd sebagai 'keaiban negara'.

Jika Najib ada sifat malu, dia pasti tidak akan menyeleweng dana negara dan menjadikan Malaysia sebagai bahan ketawa dunia.

Jika Najib ada sifat itu, dia pasti tidak akan menyalahgunakan jentera kerajaan untuk kekal memegang kuasa, sekali gus mengelak daripada disingkirkan pada masa yang sepatutnya.


JOHAN SALEHUDDIN ialah pembaca Malaysiakini dari Tanjung Malim.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.