Skip to main
Logo Malaysiakini

SURAT | Lebih suka tengok Muda kekal solo

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Secara peribadi saya lebih suka tengok parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) bergerak secara solo atau sendirian dalam dunia politik di Malaysia.

Parti Muda tidak perlu melekat dengan mana–mana parti politik sedia ada dalam Malaysia sekiranya mereka ingin membawa pembaruan yang sebenar untuk rakyat dan negara ini.

Walaupun sukar untuk mana–mana parti politik baru untuk memulakan langkah dalam dunia politik Malaysia, mereka tidak seharusnya mendekatkan diri mereka dengan mana–mana parti politik sedia ada dalam negara kita sekiranya mereka benar–benar ingin membawa pembaruan dalam negara kita.

Kewujudan parti Muda ini pada awal pengumuman penubuhannya pada bulan September 2020 yang lalu memberi harapan baru buat rakyat Malaysia yang sudah lama dihidangkan dengan parti–parti politik sedia ada yang dipelopori oleh generasi tua.

Parti Muda yang diasaskan oleh Syed Saddiq Syed Abdul Rahman ini diharapkan dapat memberi satu alternatif kepada rakyat Malaysia khususnya kepada pengundi untuk mengubah landskap politik negara kita yang sudah lama diterajui oleh generasi tua yang sudah ketinggalan zaman dan tidak faham dengan hasrat sebenar generasi baru.

Sudah sampai masanya Malaysia diterajui oleh sebuah parti politik baru yang dipelopori oleh generasi baru yang membawa idea baru untuk membawa Malaysia ke arah baru yang lebih cemerlang, gemilang dan terbilang.

Namun, agak terkilan dengan perkembangan terbaru terhadap arah yang dibawa oleh parti Muda ini semenjak kebelakangan ini khususnya semenjak pembubaran Dewan Undangan Negeri Johor yang memberi jalan kepada sebuah lagi proses pilihanraya negeri (PRN) dalam negara kita.

Baru–baru ini parti berkenaan telah dikatakan akan bekerjasama dengan gabungan parti–parti politik sedia ada di dalam Pakatan Harapan (PH).

Menurut laporan media, parti Muda akan bertanding di enam kerusi pada pilihan raya negeri (PRN) Johor 12 Mac ini setelah persefahaman dicapai diantara parti Muda dengan parti DAP dan Amanah.

Dalam kenyataan bersama Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng, Presiden Amanah Mohamad Sabu dan Presiden Muda Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata pembahagian kerusi itu adalah bagi memastikan tidak berlaku pertindihan antara calon tiga parti berkenaan di setiap kawasan di Johor.

'Kuasa ketiga'

Enam kerusi yang akan ditandingi Muda ialah di Tenang, Bukit Kepong, Parit Raja, Machap, Puteri Wangsa dan Bukit Permai.

Melalui persefahaman yang telah dimeterai ini, adakah ini bermakna parti Muda akan hanya fokus untuk melawan parti–parti politik yang lain tetapi tidak akan melawan gabungan parti–parti politik di dalam Pakatan Harapan (PH)?

Sekiranya ini benar, maka bagaimanapula dengan kedudukan parti Muda itu sendiri dalam landskap politik negara kita? 

Adakah parti Muda ini akan menjadi sebahagian daripada Pakatan Harapan (PH)?

Sekiranya parti Muda menjadi sebahagian daripada Pakatan Harapan (PH) maka Malaysia tidak akan memiliki kuasa ketiga (Third force power) yang diharap–harapkan oleh ramai pihak untuk membawa pembaruan yang sebenar dalam negara kita.

Adalah penting supaya parti Muda untuk melihat semula hala tuju parti Muda itu sendiri.

Adakah parti Muda ingin kekal sebagai sebuah parti politik yang benar–benar bebas daripada pengaruh parti–parti politik sedia ada dalam Malaysia ataupun parti Muda ingin menjadi sebahagian daripada mana–mana parti politik sedia ada dalam negara kita?

Persoalan ini harus dijawab dengan ikhlas dan jelas oleh kepimpinan parti Muda itu sendiri.

Parti Muda tidak boleh membiarkan rakyat Malaysia tertanya–tanya dengan hala tuju sebenar parti itu bagi mengelakkan salah faham berlaku bukan sahaja dikalangan ahli parti mereka sendiri malah dikalangan para pengundi dan seluruh rakyat Malaysia.


PROF MADYA DR MUZAFFAR SYAH MALLOW ialah pensyarah di Fakulti Syariah dan Undang–undang (FSU), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

Artikel ini pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.