Skip to main
Logo Malaysiakini

SURAT | Sanusi perlu berhenti masuk bakul angkat sendiri

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Saya terbaca kenyataan media bahawa Menteri Besar Kedah Sanusi Md Noor ingin membina sebuah lagi stadium baru untuk Kedah Darul Aman (KDA) FC. Kononnya angan-angannya adalah meletakkan KDA FC sebaris dengan JDT FC.

Hakikatnya, adakah ini masa yang sesuai untuk seorang menteri besar fikir tentang bola sepak dan mengabaikan perkara-perkara lain yang saya kira jauh lebih mustahak yang harus ditangani kerajaan negeri? 

Dengan jumlah kos dianggarkan kira-kira RM90 juta, bukankah sepatutnya kerajaan pimpinan Sanusi memberi tumpuan untuk bagaimana boleh selesaikan isu kemudahan asas penduduk di Kedah dengan wang sebanyak itu.

Sebagai anak jati Kedah, saya lihat betapa infrastruktur yang asas pun masih dalam keadaan daif. Contohnya di pasar-pasar awam sekitar Serdang, Jitra, Kuala Nerang dan kawasan-kawasan lain yang tidak dinaik taraf dengan baik. 

Infrastruktur asas yang tidak dinaik taraf ini bukan sahaja menyebabkan peniaga dan pengunjung tidak selesa, malah dengan kehadiran lalat dan bau tidak menyenangkan boleh menjurus kepada isu kesihatan pula.

Bukan itu saja, kemudahan sukan rakyat yang asas seperti stadium mini futsal di Lubuk Buntar, Bandar Baharu pun telah ditelan semak samun yang tinggi.

Dalam kenyataan Sanusi, dinyatakan usaha mencari tanah sedang giat dijalankan di sekitar Sungai Petani untuk stadium baru ini. Namun, bukankah isu penduduk Kampung Pulau Tiga yang diusir paksa pun masih belum selesai?

Sanusi selaku menteri besar gagal mencari tanah-tanah baru untuk penempatan semula penduduk-penduduk di Kampung Pulau Tiga di Sungai Petani namun ada hati nak bina stadium bola sepak yang kosnya dikatakan hampir RM90 juta.

Penduduk Kampung Pulau Tiga tidak minta Sanusi untuk mencampuri keputusan mahkamah yang telah dibuat, namun selaku menteri besar dia seharusnya lebih mengambil berat kerana ini soal kebajikan penduduk. Penduduk Kampung Pulau Tiga hanya mahu sebidang tanah kecil untuk mereka jadikan perkampungan baru mereka. 

Selain hanya bijak mencari publisiti murahan dengan isu yang tidak memberi keuntungan kepada pembangunan dan kebajikan rakyat, saya kira Sanusi lebih minat untuk masuk bakul angkat sendiri dengan isu kontroversi menghentam kerajaan negeri lain berbanding mencari jalan penyelesaian untuk membantu rakyat dan memajukan Kedah.


FARID MAULUD adalah anak jati Kedah dan dari Pasukan Komuniti Bandar Baharu Kedah.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.