SURAT | Nasihat orang lama Temerloh kepada Muda
Saya merujuk kepada kenyataan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, bahawa Muda akan bertanding di kerusi PKR.
Pada saya kenyataan Syed Saddiq keterlaluan, canggung serta angkuh. Juga jelas berbaur ugutan terhadap PKR.
Apakah ini Khemah Besar yang sesungguhnya? Di Indonesia dipanggil Tenda Besar. Pembacaan saya istilah (dan falsafahnya) dipopularkan di sana pascareformasi tetapi dengan pendekatan yang berbeza dari yang dilaungkan di sini.
Atau Khemah Besar Muda hanyalah dengan DAP dan Amanah, yang barangkali kepada Syed Saddiq tidak mengikat PKR? Sedangkan DAP dan Amanah komponen PH.
Dalam konsep Khemah Besar, Muda sebahagian daripada keluarga PH vis-a-vis PKR.
Akan tetapi sebaliknya berlaku. Tiada langsung sebarang rasa hormat Muda terhadap PKR malah kurang ajar mengugut pula.
Daripada satu sudut memang sangat keanak-anakk an, macam budak baru bertatih tak dapat gula-gula menghentak kaki atau berguling atas lantai atau merajuk. Low standards betul!
Daripada sudut yang lain, apabila DAP, Amanah dan Muda meterai persafahaman pilihan raya, saya diberitahu tanpa ada courtesy daripada Lim Guan Eng dan Mohamad Sabu maklumkan PKR, maka Muda wajar menyedari perjanjian itu turut mengikat PKR by default, walaupun bukan menjadi pihak.
Sekiranya Muda gagal memahami prinsip yang paling asas ini- mengelakkan pertembungan sesama sendiri - mereka tidak layak bernaung bawah Khemah Besar, malah gagal memahami betapa pentingnya hormat-menghormati.
Pun begitu untuk berlaku adil pada Syed Saddiq, perjanjian DAP-Amanah-Muda itu tidak pernah didedahkan kepada umum akan terma dan syaratnya.
Pun begitu saya bersangka baik. Tentunya ada terma secara tersirat yang mereka tidak akan meletakkan calon di mana PH bertanding.
Gamaknyalah, melainkan Amanah dan DAP merasakan mereka lebih selesa dan memerlukan kasih sayang Muda berbanding PKR!
Saya akui saya sarkastiks, tetapi jika sebaliknya, lebih aula DAP dan Amanah kongsikan kepada umum akan kandungan persefahaman mereka sepertimana dilakukan sejak zaman Barisan Alternatif (BA), Pakatan Rakyat (PR) dan PH. Kita sudah ada duluan.
Jadi Khemah Besar bukannnya lesen untuk ugut atau merajuk macam budak-budak hingusan. Persefahaman politik bererti saling menghormati.
Saya juga ada pengalaman berunding kerusi pilihan raya walaupun di ruang kecil untuk negeri Pahang sejak PRU 1999 hinggalah terakhir khidmat saya sehingga PRU 2018.
Ketika DAP keluar BA pada PRU 2014, paling kurang kami di Pahang, masih mengambil kira DAP. Konsep Khemah Besar ini telah kami amalkan jauh sebelum di uar-uarkan hari ini.
Perjanjian persefahaman itu masih ada dalam simpanan saya. Ketika itu (waktu saya masih Muda, darah lagi panas dari hari ini) tidak pula kami ugut untuk langgar kerusi yang DAP tanding.
Kita berpegang kepada prinsip paling asas, kita menghadapi lawan politik yang sama!
Bagaimana pula sekiranya PKR mengambil sikap free for all, kerusi Muda tanding, PKR letak calon juga? Its take two to tango. Kalah menang terserah kepada pengundi menentukan? Apakah Muda malah DAP dan Amanah bersedia mengambil risiko sebegini?
Seperti kata teman saya, orang lama PKR Temerloh, “Kita sudah biasa belum menang, tetapi apakah Muda bersedia untuk melalui pengalaman yang sama?” Persoalan ini di lontar oleh Dr Yahya.
Saya tidak boleh menjawab bagi pihak Muda tetapi demikianlah sentimen di bawah, menanggapi keangguhan Syed Sadiq dan Muda.
Masih banyak yang Syed Sadiq kena belajar tetapi yang paling asas ialah berhenti jadi cengeng!
AHMAD NIZAM HAMID ialah bekas pemimpin PKR Pahang.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai