Skip to main
Logo Malaysiakini

SURAT | Henti salahkan wanita

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Pertubuhan Teratak Rahmah Wanita Islam (Teratai) menzahirkan rasa kesal dengan kenyataan Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Siti Zailah Mohd Yusoff menerusi klip video dua minit di Instagram-nya yang menyarankan suami boleh menggunakan “sentuhan fizikal yang lembut tetapi tegas” untuk menegur isteri.

Saranan tersebut adalah tidak sensitif dan tidak empati dengan apa yang dilalui oleh wanita yang diganasi. 

Ia juga sangat subjektif, sangat bahaya dan mudah disalah fahami, seolah-olah membenarkan suami memukul isteri jika isteri melakukan kesalahan. 

Menyalahkan mangsa (victim-blaming) adalah alasan yang selalu diberikan oleh pendera yang menyebabkan keganasan rumah tangga masih tetap berlaku dan mangsa iaitu isteri tidak mendapat pembelaan sewajarnya.

Menurut data yang disampaikan oleh Rina Mohd Harun pada sidang parlimen 23 September lalu, sebanyak 9,015 kes keganasan rumah tangga direkodkan dalam kalangan masyarakat sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan di seluruh negara bagi tempoh Mac 2020 hingga Ogos 2021.

Ia peningkatan yang sangat ketara dan mendadak.

Kami menyeru Kementerian Pembangunan Wanita yang sewajarnya menjaga kebajikan wanita agar hentikan menyalahkan mangsa dan fokus kepada menangani isu keganasan rumah tangga.

Hentikan menyalahkan wanita! Hentikan keganasan rumah tangga!



AZLINA @ ROSZY MOHAMAD GHAFFAR ialah pengerusi Pertubuhan Teratak Rahmah Wanita Islam (Teratai).

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.