Skip to main
Logo Malaysiakini

SURAT | 2022: Bukan sekadar kereta tak terbang, bas pun masih lambat

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Di tahun 2022 ini, masalah pengangkutan awam di Lembah Klang masih di takuk lama. Pengangkutan awam terutama sekali bas awam, masih tiada tanda untuk penambahbaikan.

Walaupun orang ramai memilih untuk mempunyai kenderaan sendiri, tetapi bagi golongan yang kurang berkemampuan seperti saya, pengangkutan awam adalah pilihan utama, terutama sekali bas awam.

Umum mengetahui Rapid KL merupakan monopoli terbesar bagi laluan bas di sekitar lembah klang. Namun walaupun Rapid KL merupakan salah satu konsesi yang besar, kualiti perkhidmatan yang ditawarkan masih di paras yang lama, tiada langsung penambahbaikan walaupun di era yang serba maju ini.

Apa yang menjadi ralat kepada saya iaitu salah seorang pengguna perkhidmatan mereka, amat sukar sekali untuk mendapatkan info ketibaan bas di stesen bas.

Seringkali kita dimomokkan dengan segala maklumat di hujung jari dengan adanya kemudahan telefon pintar. Pelbagai aplikasi di tawarkan di telefon pintar untuk kemudahan kehidupan seharian, namun kemudahan itu gagal dimanfaatkan oleh pihak Rapid KL sendiri.

Ya, saya akui Rapid KL turut melangkah setapak dalam usaha penambah baikan ini namun usaha ini seperti melepaskan batuk di tangga. Aplikasi Pulse yang diperkenalkan Rapid KL tidak menampakkan perubahan positif sebaliknya hanya memaparkan kelemah sistem pengurusan yang mereka sendiri.

Pengalaman saya menggunakan aplikasi itu, amat mengecewakan. Info perjalan bas tidak tepat. Bila dilihat di paparan aplikasi tersebut, bas untuk laluan saya dianggarkan tiba ke destinasi dalam lima minit.

Namun dalam sekelip mata info paparan tersebut tiba-tiba bertukar menjadi 15 minit ataupun kepada 30 minit. Info yang dipaparkan adalah tidak tepat dan mengganggu urusan seharian saya.

Selain aplikasi Pulse yang saya sebutkan tadi, aplikasi Google Maps juga memaparkan perjalanan laluan bas awam. Namun setelah bertahun menggunakan kemudahan aplikasi itu, saya dapati laluan bas Rapid KL sememangnya bermasalah, maklumat yang dipaparkan adalah tidak tepat dan tidak sama dengan keadaan semasa, sama seperti contoh yang saya sebutkan tadi.

Di aplikasi menunjukkan bas akan sampai dalam lima minit, namun selepas lima minit, bayangan bas tidak nampak dan apa yang berlakudi aplikasi itu, ia akan menunjukkan jadual jadual bas yang seterusnya.

Ya sebagai pengguna, sememangnya ada benda yang saya tidak paham mengenai sistem yang mereka jalankan dan bagaimana mereka beroperasi. Namun jika menggunakan logik akal, sekiranya paparan di kedua-dua aplikasi itu adalah tidak tepat, perlu ada pembetulan di sesuatu bahagian yang wajar dilakukan. Adalah tidak patut salah satu badan berkanun yang mana kerajaan mempunyai kepentingan dalamnya mengamalkan perkhidmatan yang lemah

dan membebankan pengguna.

Lebih teruk, mereka memonopoli perkhidmatan tersebut. Nyata sekali pengguna tiada pilihan yang lain.

Jika diingat pada tahun 1998, waktu zaman persekolahan, kita dimomokkan dengan teknologi yang serba canggih pada masa hadapan, secara tepatnya tahun 2020. Pada tahun 2020, teknologi semakin canggih, adanya kereta terbang dan kehidupan dilengkapi kemudahan elektronik. Namun nampaknya itu adalah imaginasi pemimpin pada masa tersebut.

Jika dilihat pada tahun 2022 ini, di negara kita kemudahan asas sahaja seperti pengangkutan masih di takuk lama. Nampaknya lama lagi negara kita menjadi negara maju. Kegagalan untuk menjadikan pengangkutan awam menjadi efektif menjadi tanda aras kemajuan untuk sesuatu negara tersebut. Amat menyedihkan kerana kemudahan pengangkutan seperti transit ringan LRT semakin maju namun pengangkutan awam seperti bas awam pula semakin ketinggalan.

Amatlah molek sekiranya perkembangan modenisasi itu selari kerana laluan untuk menggunakan pengangkutan LRT adalah tidak mudah diakses oleh sesetengah pengguna, sepertimana laluan bas. Jadi pilihan yang mereka ada adalah bas sahaja. Oleh itu adalah tidak adil perkhidmatan LRT menampakkan peningkatan kemajuan namun perkhidmatan laluan bas masih di takuk lama.

Sewajarnya perkembangan harus disusun secara teratur untuk memastikan kemajuan yang disediakan meliputi semua aspek. Ini mengelakkan kejadian sistem yang tidak teratur yang mana akan menjadi persoalan di kalangan rakyat sendiri. Diharapkan kita sama-sama belajar memperbaiki diri dalam usaha menjadi rakyat dan negara yang sihat dan maju daripada semua segi.


LATIFAH ADU BAHASA ialah penuntut pengajian media dan komunikasi di sebuah universiti dalam negara.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.