Skip to main
Logo Malaysiakini

Isma: Seksyen 66A tak sah bukti kuasa Islam makin terhakis

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) dengan rasa terkilan menghormati keputusan Mahkamah Persekutuan yang mengisytiharkan Seksyen 66A Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 adalah tidak berperlembagaan, terbatal dan tidak sah.

Keputusan ini secara langsung memberi maksud bahawa Mahkamah Tinggi Syariah tidak mempunyai kuasa membenarkan pihak berkuasa agama negeri untuk menjalankan tugas melaksanakan undang-undang syariah negeri serta jawatankuasa fatwa negeri-negeri.

Perkara ini memberikan ‘loophole’ kepada undang-undang syariah dan dikuatiri bakal memberikan indikasi kepada undang-undang syariah yang lain.

Perkembangan ini mendatangkan kegusaran dalam kalangan umat Islam yang melihat kesan kepada kuasa pihak berkuasa agama negeri semakin terhakis dan menyekat lagi bidang kuasa syariah.

Justeru, Isma berharap agar pihak istana selaku ketua agama Islam negeri campur tangan agar undang-undang syariah dapat diperkasa.

Sementara itu, Isma menentang sebarang campur tangan daripada pihak-pihak liberal yang cuba menunggang isu ini demi kepentingan tertentu.

Akhir sekali, umat Islam harus sedar perkara ini menjadi tanda yang undang-undang syariah seperti dibuli dan tiada kuasa apa-apa, sedangkan orang Islam adalah majoriti di negara ini dan Islam adalah agama Persekutuan.

Isma turut menyeru kepada ahli politik Muslim agar lebih cakna tentang apa yang sedang terjadi ke atas undang-undang syariah hari ini. Jangan terlalu sibuk mengejar laba sehingga terlupa dengan ikrar untuk meletakkan Islam di tempat yang paling tinggi.


MUHAMMAD FAUZI ASMUNI ialah presiden Isma.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.