Skip to main
Logo Malaysiakini

Surat terbuka buat Rina: Remaja 15 tahun itu perlukan sokongan

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

SURAT | Surat Terbuka buat YB Datuk Seri Rina Harun, Menteri, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Ke hadapan Datuk Seri,

Laporan media bertarikh 3 Mac 2022 berkenaan permohonan bagi pihak kanak-kanak perempuan berusia 15 tahun di Mahkamah Tinggi Terengganu untuk dilepaskan atas jamin.

Kanak-kanak tersebut telah dituduh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan atas kesalahan membunuh bayi yang dilahirkannya. Sekiranya didapati bersalah, beliau menghadapi hukuman mati.

Suatu permohonan semakan telah dibuat terhadap keputusan Mahkamah Majistret pada 15 Februari 2022, yang telah menolak permohonan kanak-kanak perempuan tersebut dilepaskan dengan jaminan bersyarat.

Keputusan permohonan ini bakal diketahui pada 8 Mac 2022. Memandangkan beliau seorang kanak-kanak, jika disabitkan sekalipun, menurut Seksyen 97(2)

Akta Kanak-kanak 2001, beliau boleh ditahan mengikut suatu tempoh masa yang ditetapkan Yang di-Pertuan Agong, YM Sultan atau Yang Dipertua Negeri (mengikut tempat kesalahan dilakukan).

Ini merupakan masa yang amat lama untuk menahan seorang kanak-kanak, yang ditekan trauma, menghadapi keganasan seksual, dan terhukum tanpa diberi rawatan atau kaunseling menyeluruh sewaktu tempoh tahanan.

Sebagai Mentri Pembangunan, Wanita, Keluarga dan Masyarakat, adakah YB sedang mengikuti rapat kes ini? Saya tahu seakan-akan lebih banyak isu lebih penting yang memerlukan perhatian YB sekarang, tetapi kanak-kanak perempuan ini memerlukan sokongan YB sekarang.

Kanak-kanak ini telah “dibicarakan” dan dihukum oleh beberapa pihak termasuklah Timbalan Menteri YB sendiri (yang telahpun memadamkan siaran Instagram beliau). Kanak-kanak perempuan ini dituduh membunuh dan disumbatkan dalam tahanan juvena sebelum pun siap suatu penilaian psikiatrik yang lengkap. Beliau juga ditahan di pusat tahanan juvena tanpa akses fizikal kepada ibunya.

Sekiranya kanak-kanak ini didapati bersalah, bagi kanak-kanak perempuan di tempat tahanan, akses kepada persekolahan hampir tiada. Apatah lagi akses kepada Sekolah Integriti. Jika pun ada akses, kita tahu bahawa dia mengalami kurang upaya pembelajaran. Peluang belajar, mendapatkan sijil ijazah seperti kanak-kanak lain semasa ditahan, adalah mustahil.

Semua ini saya nyatakan semata-mata berdasarkan usaha saya turun padang saban tahun supaya remaja lelaki yang ditahan selama 17 ke 20 tahun dapat akses pembelajaran. Namun, ada yang masih ditahan di sana lebih lama dari itu sampai sekarang.

Jabatan Peguam Negara telah menyatakan bahawa mereka masih boleh menyiasat dan menyemak kembali pertuduhan kesalahan bunuh terhadap kanak-kanak perempuan ini, untuk ditukar kepada kesalahan yang lain.

Ini adalah mengikut perkembangan atau fakta terkini termasuk siasatan bahawa dia mungkin seorang mangsa rogol. Makluman ini dialu-alukan tetapi sekarang ini, terdapat permohonan jaminan kanak-kanak perempuan ini bakal diputuskan Selasa ini.

Keadaan fizikal, mental dan emosi beliau – yang baru sahaja melahirkan – telah melalui perubahan mendadak, dan menjadikan dia memerlukan perhatian segera selain daripada sokongan ibu beliau. Fakta yang tidak dapat disangkal ialah dia masih seorang kanak-kanak.

Dia sendiri perlukan sokongan emosi dan rawatan fizikal serta mental, secara serta-merta.

Hampir tiada langsung risiko dia akan melarikan diri, juga ramai antara kami boleh membantu ibu dan kanak-kanak perempuan tertuduh ini, bagi memastikan dia mematuhi semua syarat yang ditetapkan oleh mahkamah.

Kami boleh menjana biayaan beliau, mengambil giliran membawa dan menemani kanak-kanak ke sesi psikiatri atau temubual. Kami juga boleh menolong dengan persekolahan, kelas tambahan dan perkara lain yang diperlukan untuk kebajikan beliau selaras dengan apa yang diperintahkan oleh mahkamah.

Dengan segala hormatnya, saya memohon supaya YB dapat memainkan peranan dan menggerakkan pihak Kementerian dan Jabatan Kebajikan Masyarakat bagi memastikan kepentingan terbaik kanak-kanak sepertimana termaktub di dalam Akta Kanak-Kanak 2001 terlaksana.

Saya berserta dengan ramai rakyat Malaysia, ingin melihat sokongan YB dan pegawai pelindung kanak-kanak di JKM dan KPWKM, agar kanak-kanak ini dapat dijamin pada 8 Mac.


DR HARTINI ZAINUDIN ialah pengasas Yayasan Chow Kit.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.