Skip to main
Logo Malaysiakini

SURAT | Hentikan stereotaip sukan bola sepak

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Semalam adalah sambutan Hari Wanita Sedunia bertemakan Hentikan Stereotaip. Hari Wanita Sedunia ini disambut bagi mengangkat peranan wanita dan menghargai jasa wanita dalam pelbagai aspek.

Ketika kita berbicara untuk mengangkat peranan wanita, saya tertarik untuk mengulas tentang Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang jelas mempunyai stereotaip yang tinggi terhadap pemain bola sepak wanita negara apabila mereka bertindak untuk tidak menghantar pasukan kebangsaan wanita negara untuk kejohanan pada Sukan SEA akan datang.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Bola Sepak Wanita FAM, Suraya Yaacob alasan mereka tidak menghantar pasukan wanita kebangsaan kerana skuad pilihan seperti Thailand, Myanmar dan Vietnam memiliki kelebihan yang sukar ditandingi oleh pasukan negara.

Hujung tahun lepas, FAM dikhabarkan mendapat peruntukan daripada perdana menteri sebanyak RM 10 juta.

Persoalannya apakah peruntukan yang diberikan kepada FAM itu tidak boleh digunakan untuk mengembangkan pasukan kebangsaan wanita negara?

Jika selama ini FAM fokus terhadap pasukan lelaki, namun adakah hari ini kita sudah menjejakkan kaki di Kejohanan Bola Sepak Dunia?

Perkara asasnya adalah proses itu perlu berterusan supaya pasukan kebangsaan dilihat mampu menggugat pasukan negara lain di Asia Tenggara sebelum kita mencongak langkah ke peringkat seterusnya.

Pada pandangan saya, ini jelas satu bentuk diskriminasi yang diamalkan FAM. Kita masih belum mempunyai Liga Bola Sepak Wanita apa lagi program akar umbi untuk mencungkil bakat pemain bola sepak wanita negara.

Malah bakat pemain bola sepak wanita negara seperti Celine Chuang dan Berlin Leong kini diasah oleh kelab bola sepak luar negara.

Hala tuju FAM juga kelihatan pincang malah kenyataan Ketua Jurulatih Pasukan Wanita Negara, Jacob Joseph yang menyatakan pasukan wanita negara belum bersedia adalah alasan yang dangkal dan menampakkan kepincangannya sebagai seorang jurulatih.

Bagaimana mungkin seorang ketua jurulatih tidak yakin dengan prestasi anak buahnya?

Dengan kenyataan yang dikeluarkan beliau ini jelas menunjukkan pengurusan FAM wajar dirombak segera kerana tiada kesungguhan dan keyakinan dalam membentuk pasukan yang mantap.

Tanpa pendedahan berterusan di peringkat antarabangsa kita akan terus ketinggalan, malah tanpa pengurusan yang baik juga bakat kita akan terus tenggelam.

Sempena Hari Wanita ini juga saya mengucapkan selamat maju jaya buat wanita yang berkecimpung dalam industri sukan negara.

Begitu besar pengorbanan mereka apa lagi dalam usaha menghentikan stereotaip dan diskriminasi terhadap kaum wanita dalam bidang ini.

Semoga suara wanita dalam sukan negara akan terus diangkat dan besar harapan saya untuk melihat rombakan besar dalam sistem sukan negara.


YUSLAINI AZMI ialah ketua wanita muda Terengganu.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.