Skip to main
Logo Malaysiakini

SURAT | PRN Johor ibarat wayang kulit

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

SURAT | PRN Johor telah melabuhkan tirainya dengan menyaksikan kemenangan BN yang berjaya memperolehi dua per tiga kerusi Dewan Undangan Negeri.

PRN Johor baru-baru ini juga telah menarik perhatian ramai bukan sahaja ahli-ahli politik dan pengamal politik tetapi juga orang awam.

Ini kerana keterlibatan beberapa parti politik baru seperti parti Muda dan Pejuang yang turut bertanding untuk mencuba nasib di beberapa buah kerusi.

Termasuk juga parti Warisan yang cuba untuk melebarkan sayapnya di semenanjung dengan mempertaruhkan beberapa nama untuk dipertandingkan.

Bukan itu sahaja, PRN Johor ini juga telah menjadi satu medan ujian untuk menguji kekuatan parti politik masing-masing.

Kekuatan sesebuah gabungan parti politik itu akan diterjemahkan melalui sebuah rundingan yang membawa kepada keputusan yang berpihak kepada semua tanpa menimbulkan ketidakpuasan hati oleh sesetengah pihak.

Bagi gabungan Pakatan Harapan (PH), isu dua logo yang digunakan semasa PRN Johor yang lalu telah menunjukkan tidak ada kesepakatan dalam perbincangan.

Parti PKR pada mulanya mencadangkan untuk menggunakan logo partinya yang mewakili semua wakil daripada PH.

Namun, keputusan ini ditolak oleh DAP dan Amanah yang ingin menggunakan logo PH untuk memperkenalkan kepada orang ramai.

Pertikaian sama berulang

Masalah ini bukan perkara baru, bahkan di PRN Melaka juga masalah logo ini telah timbul kerana terdapat sesetengah pihak yang masih tidak mengenali logo PH.

Isu pembahagian kerusi juga timbul apabila parti Muda meminta beberapa kerusi daripada PH untuk dipertandingkan. DAP dan Amanah telah memberikan enam kerusi untuk Muda dan PKR pada mulanya pula telah menawarkan tiga kerusi mereka.

Namun, timbul ketidakpuasan hati apabila Muda menolak tawaran tersebut dan meminta kerusi yang lebih selamat untuk dipertandingkan. Maka,berlaku sedikit keregangan yang berlaku diantara PKR dan Muda dalam isu pembahagian kerusi sehingga berlaku pertembungan kerusi.

Selain itu, Umno juga mempunyai masalah dalaman parti yang parah apabila wujudnya beberapa buah kem yang memberi sokongan kepada pemimpin-pemimpin tertentu.

Tidak dinafikan bahawa PRN Johor ini berlaku disebabkan oleh tindakan “kluster mahkamah” yang cuba untuk menaiki puncak kuasa.

Mereka bukan sahaja menjadikan PH sebagai sasaran tetapi juga parti PAS dan Bersatu juga turut menjadi sasaran yang sama.

Bagi mereka, inilah masa yang sesuai untuk Umno/BN mengambil kuasa mereka semula setelah ditolak oleh rakyat semasa PRU14 tahun 2018 yang lalu.

Peratusan keluar mengundi yang sedikit dan perpecahan dalam parti pembangkang telah memberikan satu kredit kepada mereka untuk mengambil semula kuasa dan kedudukan yang hilang.

Tidak ditolak kemungkinan berlakunya lagi PRN atau pembubaran parlimen bagi memberi ruang untuk PRU15 diadakan.

Kesemua parti-parti politik ini tak ubah seperti sebuah wayang kulit. Terdapat tangan ghaib yang menjadi ‘tok dalang’ kepada mereka dengan menyediakan skrip dan lakonan yang sama iaitu menjanjikan kestabilan dan keharmonian kepada rakyat.

Hakikatnya, kuasa dan kedudukan yang mereka inginkan.

Peratusan keluar mengundi yang sedikit telah menjadi satu manifestasi rakyat kepada ahli-ahli politik bahawa mereka telah muak dan bosan dengan permainan politk yang dimainkan.

Menjanjikan pelbagai tawaran yang akhirnya janji hanya tinggal janji. Tatkala rakyat sedang bergelut dengan kehidupan yang semakin sukar,ahli-ahli politik hanya cuma memikirkan kuasa dan kedudukan.


MUHAMMAD AZHA SALAHUDIN merupakan penasihat dan penyelaras NGO ADAT.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.