Skip to main
Logo Malaysiakini

SURAT | Perlukah RUU antilompat parti?

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Budaya lompat parti banyak memberikan kesan negatif sehingga menjejaskan kestabilan politik dalam negara dan membangkitkan kemarahan rakyat yang merasakan mereka dipermainkan dan undi mereka bagai tiada nilai.

Tidak hairanlah, generasi muda masa kini ramai yang tidak berminat untuk menceburkan diri dalam politik dan berasa muak untuk mengambil tahu hal-hal berkaitan dengan politik.

Akhir-akhir ini hangat diperkatakan mengenai Rang Undang-undang (RUU) Antilompat Parti. Sudah tentu pelbagai idea dan pandangan telah dilontarkan pelbagai pihak dari kalangan ahli politik, aktivis mahu pun ahli akademik.

Desakan supaya kerajaan membuat Pembentangan RUU ini mula memuncak selepas Pembubaran Dewan Undangan Negeri Melaka pada 5hb Oktober 2021.

Beberapa buah NGO telah bekerjasama membuat petisyen secara atas talian bagi meminta kerajaan membuat satu undang-undang bertujuan menyekat mana-mana wakil rakyat dari melompat parti.

Bagaimanapun, saya melihat, apa pun tindakan yang bermaksud untuk menghalang mana-mana individu dari menyertai mana-mana parti politik yang dikehendakinya adalah bertentangan dengan hak individu untuk "bersuara, berhimpun secara aman dan berpersatuan" sebagaimana yang termaktub di bawah Artikel 10 Perlembagaan Persekutuan.

Ini bermaksud apa-apa undang-undang yang bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan adalah terbatal sama sekali.

Sebagai alternatif, suka saya merujuk bagaimana Dewan Senat Amerika Syarikat menggantikan mana-mana senator yang meninggal dunia, meletakkan jawatan atau hilang kelayakan sebagai senator.

Ada dua cara yang digunakan bergantung pada ketetapan negeri masing-masing. Pertama, diadakan pilihan raya kecil bagi menggantikan senator tersebut tetapi calon-calon yang bertanding hanya dari kalangan parti yang memenangi pilihan raya umum sebelumnya manakala alternatif kedua adalah melalui lantikan, juga dari kalangan parti yang memenangi kerusi tersebut sebelum itu.

Dalam konteks Malaysia, saya berpendapat kaedah yang boleh digunakan adalah melalui lantikan langsung di mana, parlimen melalui Suruhanjaya Pilihan Raya, memperkasakan peranan atau fungsi wakil calon yang dipilih oleh parti setiap kali proses penamaan calon berlangsung.

Sekiranya seseorang ahli parlimen itu:

  • Meninggal dunia, atau

  • Meletakkan jawatan, atau

  • Kehilangan kelayakan (seperti yang termaktub di dalam Artikel 48 Perlembagaan Persekutuan), atau

  • Uzur yang tidak memungkinkan beliau untuk berkhidmat melebihi satu tempoh yang dikirakan sesuai oleh Parlimen. Sebagai contoh, sekiranya Ahli Parlimen itu diserang angin ahmar dan perlu mendapatkan rawatan berterusan selama tempoh melebihi 18 bulan, atau

  • Meninggalkan parti yang diwakilinya ketika pilihanraya samada beliau menyertai parti lain atau pun tidak.

(Pindaan perlu dibuat ke atas Artikel 48 Perlembagaan Persekutuan dan memasukkan perbuatan ‘Melompat Parti’ sebagai salah satu penyebab seseorang Ahli Parlimen itu hilang kelayakan sebagai Wakil Rakyat).

Pelihara hak individu sertai parti

Maka, ahli parlimen berkenaan akan digantikan dengan wakil calonnya sendiri sebelum ini. Namun, dengan syarat beliau memiliki kelayakan sama seperti seorang ahli parlimen dan seseorang wakil calon itu tidak boleh digantikan dengan individu yang lain.

Melalui kaedah ini, hak kebebasan seseorang individu untuk menyertai mana-mana parti politik terjamin dan terpelihara.

Ia juga dapat menyelesaikan masalah, sekiranya berlaku, drama ‘pembelian ahli parlimen’, kerana mereka akan kehilangan kerusi akibat dari perbuatan meninggalkan parti asal.

Di samping itu, ianya juga dapat mengurangkan jumlah Pilihan Raya Kecil (PRK) jika kekosongan jawatan ahli parlimen diisi secara melantik wakil calon untuk mengisi kerusi tersebut. Ia juga dapat mengelakkan berlakunya pembaziran jutaan ringgit kerana umum mengetahui bahawa perbelanjaan mengadakan sesebuah pilihan raya itu amat besar.

Justeru itu, saya tegaskan bahawa kestabilan politik adalah penting bagi menjamin kemajuan ekonomi. Sebahagian besar pelabur asing hanya berminat untuk melabur jika situasi politiknya stabil.

Bagi memastikan keadaan politik dilihat sebagai stabil, perubahan atau pindaan yang dicadangkan ini, dapat menjamin mana-mana parti politik yang menang akan kekal berkuasa sehingga habis tempoh sesuatu penggal tanpa ada risiko pertukaran kerajaan hanya kerana seseorang ahli parlimen itu hilang kelayakan atau pun melompat parti.

Namun begitu, pilihan raya Kecil masih perlu diadakan sekiranya:

  • Seseorang wakil calon itu menolak pelantikan bagi menggantikan tempat ahli parlimen tersebut.

  • Seseorang wakil calon itu hilang kelayakan seperti yang termaktub di dalam Artikel 48 Perlembagaan Malaysia.

  • Seseorang wakil calon itu telah menyertai parti lain.

  • Seseorang ahli parlimen yang memenangi kerusi melalui tiket bebas, menyertai mana-mana parti politik.

Jika pindaan terhadap Perlembagaan Persekutuan di Bahagian 4 Bab 4 dan juga Akta Pilihanraya 1958 dengan memasukkan fasal berkenaan dengan Wakil Calon ini direalisasikan, maka tidak timbul lagi isu ketidakstabilan politik negara yang dihidangkan kepada rakyat setiap kali selepas pilihan raya.

Anak-anak muda akan lebih yakin dengan sistem politik negara dan pelabur asing melihat negara sebagai destinasi pelaburan terbaik di rantau ini.


BEN HADJIMI ialah seorang pembaca Malaysiakini dari Temerloh, Pahang.

Tulisan ini pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.