Skip to main
Logo Malaysiakini

SURAT l Martabatkan bahasa Melayu di persada dunia, syabas PM

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

SURAT l Syabas dan tahniah diucapkan kepada Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob kerana terus langkahmu memperkasakan bahasa dan bangsa Melayu di persada dunia.

Malaysia, jangan pandang belakang lagi, bahasa menunjukkan bangsa. Apabila bahasa ibunda dimartabatkan maka jati diri bangsa akan turut meningkat.

Semalam, Ismail Sabri pada sesi soal jawab di Dewan Negara berkata, dia akan mengadakan perbincangan dengan pemimpin Asean untuk mencadangkan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa kedua Asean, dalam usaha memartabatkan bahasa ibunda itu di peringkat antarabangsa.

Tindakannya itu sesuatu yang terpuji dan berani kerana selain Malaysia, beberapa negara jiran seperti Indonesia, Brunei, Singapura, Selatan Thailand, Selatan Filipina serta di sebahagian Kemboja turut menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar.

Sehari sebelum itu, dia turut memaklumkan Kementerian Luar Negeri telah diarahkan supaya menyediakan nota percakapan serta dokumen berkaitan dalam bahasa Melayu sebagai rujukan apabila mengadakan lawatan rasmi ke luar negara.

Pendekatan ini dilihat sebagai salah satu usaha kerajaan memperkasa dan memartabatkan bahasa Melayu dalam sebarang urusan diplomatik luar negara dan hubungan antarabangsa.

Ismail Sabri sendiri menggunakan bahasa kebangsaan semasa lawatan rasmi ke Indonesia, Brunei, Kemboja, Thailand dan Vietnam baru-baru ini.

Kami sebagai NGO Melayu kagum dengan apa yang dilakukannya dan menyokong penuh hasrat serta ketegasan perdana menteri untuk kembali mermartabatkan bahasa Melayu dalam urusan rasmi dan sebagai bahasa kedua di peringkat antarabangsa.

Jangan biarkan anasir-anasir subversif membantutkan usaha murni itu. Kami akan terus bersama dan menyokong impian murni dan ikhlas untuk memperakasa bahasa Melayu di persada antarabangsa.

Hidup Melayu!


LT COL (H) CHE HASSAN CHE JOHAN ialah Presiden Persatuan Pengguna Melayu Malaysia (PPMM).

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.