Skip to main
Logo Malaysiakini

SURAT | Meluaskan pandangan di Bintulu

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

SURAT | Seketika sebelum pesawat AK 5244 mendarat, mata saya menyorot keluar dari jendela di udara untuk memerhatikan landskap Bintulu.

Suasana hijau meluas dengan ladang kelapa sawit. Rasa teruja untuk menikmati ciri-ciri eksotik bumi Kenyalang sebagai yang saya angan-angankan menjadi sedikit surut.

Saya mendambakan kembara alam semulajadi yang liar seperti di dalam filem-filem bikinan Holywood juga novel kembara tulisan orang barat yang pernah saya baca.

Sehingga kaki saya mencecah buat pertama kalinya di bumi Borneo - atau khususnya di Bintulu - aura eksotika masih belum meresap.

Setelah melalui perjalanan ke destinasi tujuan iaitu Uma Baha Kampong Sungai Asap, perlahan-lahan semangat kembara lasak saya mula hadir.

Jalan raya yang ditelusuri berombak-ombak dan membuai usus perut membawa ingatan saya kepada keadaan laluan Jerantut - Kuala Tahan sewaktu ia mula di bina dahulu.

Perjalan sejauh kurang lebih 100km itu walaupun seronok dengan kelasakannya tetap saya berharap cepat juga berakhirnya.

Menuju garis penyudah perjalanan itu, perut saya sudah menghantar isyarat untuk meledak. Bagaimana pun perjalan selama kira-kira 2 jam itu selamat dan sampai ke penghujungnya dengan baik.

Sewaktu protes pembinaan empangan Bakun sekitar 1990-an dahulu, saya juga terlibat dalam protes di Pahang dengan mengayakan kemeja T tertera tulisan di dada: Damned The Dam.

Marah dari jauh, dan konon-konon bersolidariti dengan pribumi yang kampung halaman mereka bakal lenyap tenggelam ditelan air Bakun.

Meriah semasa perayaan

Kini apabila menyaksikan kemakmuran hidup kaum pribumi di Kampung Sungai Asap, ada timbul rasa sedikit kesipuan atas sikap melulu saya pada masa lalu.

Semasa menyantuni suku kaum Kenyah, Kayan dan Ukit di Bintulu itu saya saksikan sendiri taraf hidup mereka telah berada pada garis kejayaan yang agak baik dari segi ekonomi, pendidikan dan kesihatan.

Tidak keterlaluan jika saya katakan taraf hidup mereka jauh lebih baik berbanding dengan penduduk di kampung halaman di Pahang, malah dengan diri saya sendiri.

Berkesempatan menginap di rumah panjang Uma Belur itu menyedarkan saya kehidupan mereka lebih sejahtera berbanding dengan orang ramai yang bernafas di kota raya.

Cuma ada khuatir di hati apabila saya dapati rumah panjang terpanjang di Malaysia itu kurang jumlah warganya. Anak-anak Uma Belur yang sudah berjaya berhijrah membina kehidupan baru di bandar dan kota.

Meriahnya kampung halaman di situ, menurut Inai yang saya diami rumahnya, sekadar terasa apabila tiba musim perayaan.

Suatu pagi saya ternampak tiga susuk remaja asyik mencari laluan gelombang talian telefon bimbit seawal jam 7.30 pagi. Saya mendoakan mereka itu agar tetap teguh dengan akar jati diri masing-masing biarpun betapa jauh nanti mereka meraih kejayaan hidup.

Biar jati diri itu seteguh tiang belawing warisan nenek moyang mereka. Warisan budaya mereka sangat unik dan bernilai tinggi justeru perlu dilestarikan.

Pengalaman Kem Seni Pedalaman 2022 atas undangan Balai Seni Negara itu membenarkan ungkapan pepatah betapa jauh perjalanan akan luaslah pandangan.

Ia bahkah terjadi sendiri ke atas diri saya. Di Bintulu saya melihat si burung kenyalang itu mengepak terbang bermain angin dalam putih awan di pesisir banjaran gunung.


UBI MARCHINO ialah jurupandu alam semula jadi.

Ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.