Skip to main
Logo Malaysiakini

SURAT | Macau Scam: K'jaan kena guna teknologi jejak terkini

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Parti Pejuang Tanah Air memandang serius isu jenayah ‘Macau Scam’ yang semakin meningkat di seluruh negara. Jenayah Macau Scam ini telah berleluasa semenjak  beberapa tahun dan setiap tahun, ia semakin berkembang.  

Di Negeri Sembilan sahaja, kes meningkat 336 peratus berbanding tahun sebelumnya; melibatkan  kerugian kira-kira RM4.56 juta bagi tempoh Januari hingga 21 April lepas. 

Di Johor pula, kes  meningkat dengan ketara pada tahun ini berbanding tahun lalu melibatkan jumlah kerugian  sebanyak RM9.5 juta setakat 18 April 2022. 

Kebiasaannya modus operandi Macau Scam ialah dengan menyamar sebagai anggota polis, Lembaga Hasil Dalam Negeri atau sebagai kakitangan kerajaan. 

Mereka mendakwa orang yang  dihubungi mempunyai kes dengan jabatan tertentu sebelum meminta butir-butir dan maklumat  dari mangsa. 

Carian Google juga mendapati hampir setiap hari, pasti ada kes baru yang dilaporkan seolah-olah  tiada hasil langsung dari segala inisiatif oleh pihak berkuasa dan kerajaan. 

Jenayah Macau Scam  ini akan lebih agresif tanpa sekatan atau tindakan drastik oleh kerajaan. Dengan teknologi terkini,  tentulah kerajaan boleh bertindak dengan lebih agresif dan efektif. 

Yang pasti, semakin ramai rakyat telah menjadi mangsa ketidakcekapan atau ketiadaan tindakan  oleh pihak berkuasa. 

Jenayah scam ini juga semakin rancak di platform e-dagang. Kes penipuan e-dagang  dan tipu kerja sambilan dalam talian di Kelantan merekodkan peningkatan mendadak. 

Sebanyak  309 kes penipuan dengan jumlah kerugian RM1.44 juta dicatatkan pada 2021  berbanding 229 kes dan kerugian lebih RM800,000 pada tahun sebelumnya.

Kes penipuan kerja sambilan dalam talian pula mencatatkan 51 kes dengan jumlah kerugian lebih RM650,000  berbanding sifar kes pada 2020. 

Berdasarkan rekod Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, sebanyak 5,848 kes  penipuan e-dagang dilaporkan sepanjang tahun 2020 di seluruh negara membabitkan kerugian  kepada mangsa lebih RM41 juta. 

Jumlah kes jenayah ini meningkat hampir 80 peratus berbanding 3,511 kes direkodkan sepanjang  tahun 2019 dengan kerugian sebanyak RM28 juta.

Pejuang menggesa kerajaan untuk menggunakan teknologi kejak dan kesan (track and trace) terkini  untuk mengesan dan membasmi operasi scam

Tubuhkan satu unit bawah Jabatan Siasatan  Jenayah Siber dan Multimedia yang terdiri dari pakar penggodam yang boleh memasuki firewall penipu untuk mengesan lokasi mereka. 

Parti Pejuang juga mengingatkan jentera dalam rangkaian kami untuk sentiasa mengingatkan  rakyat semasa menyantuni masyarakat, tentang modus operandi terutamanya Macau Scam  supaya rakyat tidak mudah tertipu.  

Operasi scammer bukan sahaja menipu dan mencuri wang rakyat tetapi ia juga terbabit dalam  pemerdagangan manusia. 

Ramai rakyat Malaysia telah ditipu dengan berbagai bentuk pekerjaan  di luar negara dengan gaji yang lumayan tetapi akhirnya dipaksa bekerja di gedung scammer  (tempat operasi scammer). 

Ekosistem operasi scammer bukan sahaja merosakkan ekonomi rakyat tetapi juga membantut  ekonomi negara dan harus dibanteras dengan kadar segera.


ARMIN BANIAZ PAHAMIN ialah ahli Majlis Eksekutif merangkap ketua Biro Ekonomi Pejuang.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.