Skip to main
Logo Malaysiakini

Surat terbuka dari bekas atlet negara untuk Faizal Azumu

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Lebih kurang seminggu lagi, Sukan Sea Hanoi akan bermula. Sukan Sea amat bermakna untuk saya kerana saya sudah mewakili negara dalam kejohanan tersebut sejak 2005 di Manila dan berjaya membawa pulang empat pingat emas. Tahun ini saya tidak mengambil bahagian.

Banyak rakan-rakan atlet dan jurulatih yang menghubungi saya. Mereka kecewa kerana tidak dapat mewakili negara dalam Sukan Sea akan datang. Mereka tidak dipilih bukan kerana faktor kelayakan, namun disebabkan krisis dalaman persatuan sukan.

Sebagai senior dalam bidang olahraga, saya terpanggil untuk bersuara bagi pihak semua atlet.

Sepanjang 18 tahun sebagai atlet olahraga, konflik dalaman persatuan sukan sering berlaku. Namun situasi sekarang sudah kritikal.

Pada 12 Disember lalu, Persatuan Olahraga Selangor (POS) telah mengadakan mesyuarat agung tahunan (AGM) bagi mengesahkan pucuk pimpinan baru. Namun pesuruhjaya sukan telah mengklasifikasikan mesyuarat itu sebagai tidak sah. Perkara ini kemudiannya dibawa ke mahkamah untuk semakan kehakiman berkenaan status AGM tersebut.

Pada 24 Mac, pesuruhjaya sukan secara tiba-tiba telah membatalkan pendaftaran POS. Anehnya, pesuruhjaya sukan membubarkan POS sebelum mahkamah membuat keputusan tentang status AGM.

Saya bukan pandai undang-undang, tetapi saya berpendapat tindakan pesuruhjaya sukan membatalkan pendaftaran POS sebagai tidak menghormati proses perundangan.

Perkara ini juga menyebabkan banyak atlet dan jurulatih yang bernaung di bawah POS menerima kesan. Segala program untuk mereka terbantut dan boleh menutup peluang mereka untuk bertanding di Sukan Sea dan Sukma.

POS sepatutnya menjadi pusat bagi membangunkan bakat atlet di peringkat akar umbi. Sebagai anak jati Kajang, saya juga bermula dengan POS.

Malangnya beberapa tahun kebelakangan ini, POS digunakan untuk kepentingan pihak-pihak tertentu demi kedudukan dan wang semata-semata. Mereka langsung tidak mengambil berat tentang kebajikan atlet. Mereka sanggup melihat POS terkubur daripada kehilangan kuasa.

Saya benar-benar kecewa dengan keadaan ini. Sukan olahraga adalah sukan yang amat saya cintai. Saya mahukan sukan ini dipelihara daripada segala unsur yang boleh merosakkan masa depan sukan olahraga.

Ada yang mungkin melihat sukan sekadar aktiviti riadah, ada yang melihat sukan untuk kesihatan diri, ada juga yang melihat sukan sebagai perniagaan. Untuk para atlet, sukan adalah hidup kami.

Saya Lee Hup Wei, bekas atlet lompat tinggi negara, menggesa Menteri Belia dan Sukan Faizal Azumu untuk campur tangan dan menarik semula pembatalan POS.

Saya tidak punya kuasa, kuasa saya hanya suara. Mohon yang berkuasa untuk membela nasib para atlet dan jurulatih seperti kami. Itu sahaja permintaan saya sebagai balasan sumbangan 18 tahun saya kepada negara.

Maaf zahir dan batin.


Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.