SURAT | Jangan politikkan sukan, atlet negara
Sukan SEA sudah berakhir dan Malaysia mengumpul 36 pingat emas. Namun begitu, pencapaian tersebut adalah yang terburuk sepanjang lebih 40 tahun sejarah negara.
Sukan negara menjadi polemik besar akhir-akhir ini dengan pelbagai masalah melanda persatuan sukan mahupun atlet negara.
Saya tidak mahu mengulas lanjut soal persatuan sukan negara yang bergolak kerana sudah terang lagi bersuluh kebanyakannya memang bermasalah.
Malah Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bertindak memotong peruntukan untuk atlet dalam Program Podium hingga ada elaun atlet terpaksa dipotong, tidak dapat menjalani latihan dengan baik dan sebagainya.
Umum maklum empat orang pemain futsal wanita negara dari Selangor MBSJ layak bermain di Sukan SEA baru-baru ini iaitu Fatin Shahida Azmi, Nur Shazreen Munazli, Norhawa Md Yassin dan Noorasyeimah Mohd Rashid.
Namun begitu, saya mengkritik pemilihan pemain yang sengaja tidak menurunkan penyerang terbaik negara ketika ini, iaitu Fatin Shahida Azmi, pada perlawanan penentuan pingat gangsa menentang Myanmar.
Adalah tidak masuk akal seorang penjaring terbanyak Liga Futsal Premier Malaysia (MPFL) malah antara pemain terbaik futsal wanita ketika ini tidak diturunkan ketika perlawanan penentuan pingat gangsa tersebut.
Saya juga mempersoalkan mengapa pemilihan pemain ini dilihat berat sebelah, seolah-olah mempunyai favoritism tanpa mengukur teknik dan kebolehan para pemain.
Sudah tentu ketiadaan penyerang nombor 10 Selangor itu dilihat sengaja dipolitikkan oleh individu tertentu dalam FAM kerana saya difahamkan atlet tersebut berada dalam prestasi terbaik malah pernah membantu Malaysia memenangi tempat kelima dalam Kejohanan AFC 2015 yang lalu.
Saya menuntut jurulatih futsal wanita Malaysia menjawab isu yang meledak dalam kalangan peminat futsal negara ketika ini.
Walaupun Malaysia memenangi pingat gangsa pada Sukan SEA kali ini harus diingat kita cuma bernasib baik kerana hanya empat negara menghantar pasukan untuk bertanding.
Pencapaian ini bukanlah yang terbaik kerana satu ketika dulu Malaysia pernah meraih tempat kelima di peringkat Asia.
YAASHAN RAJ ialah setiausaha Biro Sukan dan Kesihatan Pemuda PKR (AMK).
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai