Skip to main
Logo Malaysiakini

SURAT | Nurul Zahid rendahkan martabat wanita

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Saya menonton video tular Nurul Zahid memberi komen bahawa 'women are not born to be leaders' dalam program 'Politically Frank' di bawah Sinar Daily.

Kenyataan in selain tidak bertanggungjawab dan dangkal, juga merendahkan martabat wanita.

Terutamanya, ia datang daripada seorang wanita yang juga ibu dan mempunyai anak perempuan.

Sekian lama wanita di negara ini didiskriminasi daripada segi kesamarataan gaji, pendidikan, isu rumah tangga, kebebasan bersuara dalam politik dan banyak lagi.

Kenyataan ini seolah-olah memberi isyarat bahawa kita masih tidak mengiktiraf wanita menjadi pemimpin di negara ini dengan meletakkan tanda aras yang boleh dicapai oleh wanita.

Kenyataan Nurul Zahid ini adalah stigma yang terus ada dalam masyarakat bahawa wanita tidak layak memimpin.

Statistik juga menunjukkan partisipasi wanita dalam politik masih terbelakang.

Gambar hiasan, calon Muda pada PRK Johor.

Contohnya dalam perwakilan dalam Dewan Rakyat, kurang lebih hanya 15 peratus wanita berbanding standard di peringkat global iaitu 30 peratus minima.

Data oleh Suruhanjaya Pilihan Raya juga menunjukkan hanya 75 wanita menjadi calon berbanding 687 jumlah calon yang bertanding di peringkat parlimen pada Pilihan Raya Umum 2018.

Budaya di negara ini juga masih tidak dapat diubah jika persepsi sebegini terus ditanam dalam kalangan masyarakat.

Wanita sokong wanita

Daripada sekolah hingga ke universiti, kita sudah biasa melantik lelaki sebagai pemimpin walaupun wanita mempunyai lebih kelayakan merit berbanding lelaki.

Dalam pimpinan parti politik pula, wanita masih diletakkan menerajui sayap dan kurang ruang buat wanita untuk berada di kepimpinan parti mainstream.

Gambar hiasan, pemimpin wanita.

Kenyataan yang dikeluarkan oleh Nurul Zahid ini menggambarkan bahawa kepimpinan itu hanyalah layak dipegang lelaki dan kedudukan wanita hanyalah sebagai pembantu atau pendukung, walaupun mereka mempunyai kemampuan untuk memimpin.

Saya yakin wanita di Malaysia khususnya, punya banyak potensi bukan sahaja sebagai pimpinan yang diletakkan atas keberadaan mereka.

Wanita hari ini boleh menjadi ketua keluarga atau punya cita-cita menjadi perdana menteri.

Wanita wajib sokong dan angkat wanita lain, bukan merendahkan martabat mereka.


AINIE HAZIQAH ialah Ahli Jawatankuasa Pusat Muda.

Artikel ini pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.