Skip to main
Logo Malaysiakini

SURAT | Pemuda Umno Cheras mahu lembaga disiplin bertindak terhadap Tajuddin

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Meneliti kenyataan Ahli Parlimen Pasir Salak, Tajuddin Abdul Rahman yang menyerang secara terbuka Presiden Umno, Dr Ahmad Zahid Hamidi dan kepimpinan parti melalui sidang media Isnin lalu, ia jelas mengambarkan keperibadian sosok tubuh itu sebagai seorang pendendam dan tidak ikhlas dalam perjuangan.

Tajuddin sebagai seorang pemimpin politik senior dalam parti wajar bermuhasabah diri dan berlapang dada apabila posisinya sebagai ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno secara lantikan digantikan dengan pemimpin lain yang lebih berkelayakan, terutama ketika parti kita sedang merangka dan menyusun strategi menghadapi pilihan raya umum ke-15 (PRU-15).

Kenyataan dan tuduhan dilemparkan Tajuddin dalam sidang media berkenaan jelas tidak rasional, dipenuhi elemen kebencian dan mencalarkan imej parti. Beliau mengambarkan seolah-olah berlaku kepincangan dalam Umno dengan wujudnya plot tertentu yang kononnya bertujuan mengulingkan presiden Umno melalui jalan yang tidak sah. 

Malah berdasarkan kenyataan dikeluarkan ahli parlimen Pasar Salak dalam sidang media tempoh hari turut menunjukkan beliau bukan individu yang layak diletakkan sebagai duta Besar Malaysia ke Indonesia kerana sikapnya yang panas baran, keras kepala, kurang toleransi dan sering menggunakan pendekatan "barbaric" dalam menyelesaikan isu. Contoh yang jelas dapat dilihat apabila beliau tidak professional dalam menangani isu pelanggaran tren LRT tahun lepas yang menyebabkan beliau digugurkan sebagai Pengerusi Prasarana Malaysia Berhad.

Pendekatan digunakan Tajuddin dalam mendepani isu penggugurannya sebagai ahli Majlis Tertinggi Umno adalah salah dan tidak wajar. Kita takut ia diikuti mana-mana pemimpin politik dalam Umno kerana ia jelas menunjukkan sikap mabuk kuasa sehingga sanggup mencemarkan nama dan imej parti akibat dendam, rasa amarah dan ketamakan kepada jawatan.

Seandainya Tajuddin benar-benar seorang pemimpin yang ikhlas dan jujur dalam perjuangan Umno, beliau seharusnya bersedia mengundurkan diri dari lanskap politik tanah air dengan tidak bertanding pada pilihan raya umum dan pemilihan parti akan datang bagi memberi peluang kepada nafas baru untuk meneruskan kesinambungan kepimpinan dalam parti dan negara.

Namun perkara itu amat mustahil berlaku ketika ini kerana berdasarkan kenyataannya pada sidang media Isnin lalu, jelas ianya menggambarkan sikapnya yang sanggup menghalalkan segala kaedah dan langkah untuk terus mengekalkan pengaruhnya dalam arena politik dan pentadbiran negara hari ini. Pemimpin politik seperti Tajuddin tidak seharusnya terus diberikan kepercayaan lagi untuk menerajui parti dan negara . Sikap beliau ternyata tidak kompeten dan tidak berkelayakan lagi untuk memimpin.

Maka berdasarkan realiti tersebut, saya mewakili Pergerakan Pemuda Umno Bahagian Cheras ingin menggesa dan mendesak Lembaga Disiplin Umno untuk mengambil tindakan tegas terhadap Tajuddin sebagai mesej jelas kepada semua ahli bahawa setiap pemimpin dan ahli Umno perlu meletakkan agenda dan keutamaan parti lebih tinggi berbanding peribadi.

Tindakan ini perlu dilaksanakan bukan sekadar untuk memberikan mesej bahawa agenda transformasi parti perlu diberikan keutamaan. Malah turut membuktikan bahawa Umno bersungguh-sungguh dalam usaha memperbaiki persepsi untuk mengukuhkan sokongan rakyat terhadap parti dengan melakukan 'pembersihan dalaman' terhadap pemimpin kontroversi dan bermasalah.


JOHARI YAZID ialah ketua Pemuda Umno Bahagian Cheras.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.