Skip to main
Logo Malaysiakini

SURAT | Ayam dijual pada harga RM11.40 sekilo?

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Sejak hari raya lagi, harga ayam di Pasar Borong Selangor dijual pada RM11.40/kg. Peruncit-peruncit mempamerkan harga ayam sebanyak RM8.90, tetapi mengenakan caj tambahan RM2.50/kg untuk "pembungkusan/pemotongan". 

Jika ada pembeli yang ingin membeli ayam sahaja, tanpa "dibungkus/dipotong", peruncit masih mengenakan caj tambahan tersebut. 

Dalam erti kata lain, ayam dijual pada harga RM11.40 paling minimum di situ. Malah, peruncit berani berkata idea tersebut datang dari KPDNHEP sendiri.

Saya telah membuat aduan di portal KPDNHEP tentang isu ini, berikut merupakan aduan saya:

“Semua peruncit di pasar borong seri kembangan menjual ayam pada harga RM11.40 sejak musim raya lagi, namun tiada tindakan diambil dari pihak berkuasa. Peruncit mengenakan caj tambahan RM2.50 untuk ‘pembungkusan/pembersihan’. Namun, mereka tetap mengenakan caj tersebut walaupun pembeli membeli ayam yang tidak dipotong/bersih. Malah, peruncit berani mempamerkan harga tersebut di kedai mereka. Mereka juga menyatakan caj tambahan ini adalah idea KPDNKK sendiri. Mohon pihak berkuasa menyiasat peruncit-peruncit ini. 

Dan ini respons rasmi yang saya terima dari KPDNHEP:

“Hasil pemeriksaan mendapati premis-premis ayam di pasar borong Selangor mempamerkan tanda harga dan mengikut harga kawalan Penentuan Harga Maksimum (PHM) iaitu RM8.90. Berkenaan caj tambahan sebanyak RM2.50 ianya tidak dikawal oleh pihak KPDNHEP dan tiada kesalahan dilakukan.”

Lebih mengecewakan, tiket aduan saya ditutup serta-merta tanpa diberikan sebarang ruang untuk saya balas. Respons KPDNHEP secara jelas menunjukkan peruncit boleh menjual ayam melebihi harga kawalan. Pihak KPDNHEP berasa ini bukan kesalahan. 

Dalam erti kata lain, peruncit boleh memanipulasikan harga barang terkawal dengan mengenakan 'caj tambahan' dan ini bukanlah pelanggaran akta kawalan harga.


YOGA ialah pembaca Malaysiakini.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.