Skip to main
Logo Malaysiakini

SURAT | Warga sekolah risau harga barang naik

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Kenaikan harga barang yang sedang berlaku telah memberi impak yang signifikan terhadap semua pihak. Terdapat pelajar yang wang saku harian dipotong, ada juga yang dihidangkan dengan makanan yang kurang berkhasiat, dan terdapat juga segelintir yang disajikan dengan makanan yang sedikit.

Ini bukanlah masanya untuk menyalahkan pengusaha kantin mahupun sekolah,

Sejak kebelakangan ini, kita sering diperlihatkan dengan isu sekuriti makanan yang berlaku di Malaysia. Perkara ini amat membimbangkan semua pihak apabila ia menyebabkan harga makanan telah meningkat secara drastik.

Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia, inflasi makanan pada April tahun ini telah meningkat lebih tinggi pada 4.1 peratus dengan 89.1 peratus item makanan bagi kumpulan makanan dan minuman telah merekodkan kenaikan.

Melihat kepada hidangan makanan di kantin sekolah, perkara ini boleh dikatakan semakin kritikal apabila pelbagai pendedahan demi pendedahan telah dibuat di media sosial perihal perkara ini.

Contohnya, tular di media sosial mengenai gambar Rancangan Makanan Tambahan (RMT) sebuah sekolah di Pahang yang menunjukkan saiz hidangan mi goreng yang sangat kecil.

Terdapat juga situasi lain yang menunjukkan pengusaha kantin mengambil langkah untuk mengurangkan nasi, mengecilkan saiz ayam dan mencairkan kuah bagi menjimatkan kos dan memenuhi peruntukan RMT.

Hakikatnya, pengusaha kantin sekolah sedang tersepit kerana harus menanggung kos yang lebih tinggi akibat kenaikan harga barang tetapi tidak dapat untuk menaikkan harga makanan kerana terikat dengan kontrak.

Tak dapat tampung harga barang naik

Bagi RMT pula, peruntukan itu telah ditetapkan oleh kerajaan dengan kadar RM 2.50 sehari bagi setiap murid di Semenanjung dan RM3.00 sehari bagi setiap murid di Sabah dan Sarawak.

Justeru, pengusaha tidak boleh untuk menaikkan kos makanan sesuka hati. Tidak lupa juga, mereka perlu untuk menjaga kualiti makanan yang dihidang kerana telah disyaratkan di dalam kontrak untuk hanya menggunakan bahan asli dan berkualiti.

Rentetan itu, dilaporkan kira-kira 45 peratus daripada 10,220 pengusaha kantin seluruh negara telah ‘gulung tikar’ akibat tidak dapat menampung kenaikan harga barang yang berlaku. Jika perkara ini tidak diberi perhatian sewajarnya, dikhuatiri lebih ramai pengusaha kantin yang akan menamatkan khidmat di kantin sekolah.

Dari sudut pandang ibu bapa yang mempunyai anak bersekolah pula, peningkatan kos tanggungan tidak terhenti sekadar kos makanan harian di sekolah tetapi juga peningkatan kos tambang bas dan kelengkapan pembelajaran.

Hal ini telah disebabkan oleh pelbagai faktor yang tidak dapat dielakkan seperti harga bahan mentah, kos pengangkutan, kos operasi serta kos penyelenggaraan kenderaan sehingga perlu peningkatan kos barangan dan perkhidmatan.

Kenaikan perbelanjaan persekolahan boleh dianggarkan meningkat sebanyak 30 hingga 40 peratus.

Berdasarkan tinjauan media tempatan, kos perbelanjaan seorang anak bersekolah telah meningkat dari RM300 kepada RM400. Kesan daripada itu, terdapat pelajar-pelajar yang dipotong wang saku makanan mereka bagi menampung kos-kos lain ini.

Makanan harian yang berkhasiat di sekolah merupakan keperluan asas yang diperlukan bagi seorang pelajar. Pelbagai kajian telah membuktikan makanan berkhasiat dapat memberi kesan kepada pelajar dari sudut kemahiran berfikir, tingkah laku dan kesihatan. Manakala pelajar yang mengambil makanan yang tidak berkhasiat akan memberi kesan kepada tahap fokus sewaktu kelas dan pencapaian akademik.

KPM bagi moratorium sewa kantin enam bulan

Bagi menangani isu ini, sebuah perbincangan di antara KPM, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), dan pengusaha kantin perlu dijalankan bagi mengemaskini perjanjian tender harga jualan makanan di kantin sekolah.

Penetapan kadar harga makanan yang lebih berpatutan perlu dibuat bagi mengimbangi peningkatan kos bahan mentah dan kos operasi pengusaha kantin, dan harga mampu beli oleh para pelajar.

Selain itu, KPM boleh turut mengambil langkah yang sama seperti Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) iaitu melaksanakan moratorium bayaran sewaan selama enam bulan kepada pengusaha makanan di kampus.

Jika perkara ini dijalankan di sekolah, pengusaha kantin dapat mengurangkan kos tanggungan tersebut sekaligus dapat memastikan harga makanan tidak meningkat.

Peranan PIBG tidak terhenti sekadar menyertai perbincangan bersama pengusaha kantin, tetapi mereka juga boleh untuk turut menyalurkan bantuan dana atau makanan bagi menampung keperluan makanan pelajar.

Perkara ini bukanlah sesuatu yang baru apabila sewaktu 2021, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kampong Pasir Puteh telah membuka ‘Gerobok Rezeki’ dan bekalan makanan disediakan hasil sumbangan PIBG.

Usaha seperti ini secara tidak langsung dapat membantu para pelajar yang tidak berkemampuan.

Kenaikan harga barang yang sedang berlaku telah memberi impak yang signifikan terhadap semua pihak. Terdapat pelajar yang wang saku harian dipotong, ada juga yang dihidangkan dengan makanan yang kurang berkhasiat, dan terdapat juga segelintir yang disajikan dengan makanan yang sedikit.

Ini bukanlah masanya untuk menyalahkan pengusaha kantin mahupun sekolah, tetapi langkah proaktif yang holistik wajar dijalankan dalam memastikan para pelajar dapat membesar dengan sihat dan kuat.


DANIAL FAROOK ialah Pelajar Fakulti Pendidikan, merangkap anggota Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam sesi 2021/2022.

Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.