Skip to main
Logo Malaysiakini

SURAT | Kisah harmoni di Ladang Nigel Gardne

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Kali terakhir saya melalui jalan utama Bukit Tagar-Batang Berjuntai adalah sekitar 13 tahun yang lepas, ketika saya masih bergelar seorang mahasiswa di Unisel. Secara kebiasaannya, jalan ini akan saya lalui sebanyak  dua kali seminggu. Dalam masa yang sama, sering kali juga akan saya nampak lori sawit, kerana kawasan sekitarnya adalah sebuah ladang yang besar. Walaupun sering melalui kawasan ini, tapi saya tidak pernah berkesempatan untuk memasuki kawasan ladangnya, sehinggalah semalam.

Buat pertama kalinya, saya telah memasuki ke Ladang Nigel Gardner dan Ladang Bukit Tagar bersama Lee Kee Hiong dan rombongan pejabatnya untuk memberikan sumbangan bantuan bakul makanan dan sedikit sumbangan kewangan. 

Ketika saya sampai di kawasan tesebut, Lee bertanya “Eh Mandeep, boleh kamu bercakap bahasa Tamil?” Saya jawab tidak. Rupanya, YB bertanya soalan tersebut kerana majoriti penduduk di kawasan tersebut sering bertutur dalam bahasa Tamil, tidak mengira sama ada individu tersebut berbangsa Melayu ataupun Cina. 

Setelah tamat majlis penyerahan bakul makanan, saya melihat mak cik- mak cik dan kakak- kakak tanpa mengira bangsa rancak bercakap dalam bahasa Tamil. Seorang mak cik Cina ini lagi hebat, boleh cakap Bahasa Melayu, Bahasa Cina dan juga Bahasa Tamil.

Menyaksikan keharmonian mereka bertutur dalam bahasa yang mereka selesa membuatkan saya berfikir betapa harmoninya rakyat Malaysia jikalau tidak dihasut oleh mereka-mereka yang rancak bermain isu perkauman. Di Kampung Nigel, saya dapat menyaksikan secara sendiri Bangsa Malaysia! 

Buat saya, lawatan semalam sudah pastinya bukan yang terakhir, tapi ia adalah permulaan untuk banyak lagi lawatan. Kalau kalian nak ikut serta, marilah nanti. 

Satu hari nanti, saya berazam untuk membuat satu buat video pendek untuk tunjukkan masyarakat pelbagai kaum yang duduk satu kampung dan bertutur dalam pelbagai bahasa!


MANDEEP SINGH ialah setiausaha politik Gobind Singh Deo.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.