SURAT | Mogok penghantar makanan
Persatuan Penghantar E-Hailing Malaysia (Penghantar) telah mengambil keputusan untuk melaksanakan mogok yang dikenali sebagai ‘Food Delivery Blackout’ pada 5 Ogos 2022.
Keputusan itu diambil untuk menuntut majikan mereka supaya tidak memandang mudah dan peka dengan kebajikan penghantar makanan.
Menurut Penghantar, majikan mereka telah memanipulasi kadar upah sehingga ia menjadi tidak setimpal dengan kerja yang telah dilaksanakan.
Mogok tersebut diharap dapat mengubah layanan yang diterima oleh ahli-ahli Penghantar.
Namun, mogok tersebut gagal mencapai matlamat apabila bonus tambahan diberikan oleh majikan kepada penghantar makanan untuk mereka yang bekerja pada 5 hingga 7 Ogos 2022 (tarikh mogok yang telah ditetapkan).
Tawaran bonus tersebut telah berjaya menghentikan niat segelintir ahli-ahli Penghantar daripada meneruskan mogok.
Usaha memahami kegagalan mogok Penghantar perlu dirungkaikan dengan membincangkan kategori pekerjaan penghantar makanan secara E-Hailing, kumpulan tersebut boleh dikategorikan sebagai Pekerja Gig Ekonomi.
The Centre mendefinisikan ahli-ahli Penghantar sebagai pekerja dalam pasaran buruh bercirikan kontrak jangka pendek atau kerja bebas.
Sifat pekerjaan sebagai penghantar makanan secara E-Hailing pada asalnya (sekitar tahun 2010) adalah pekerjaan sambilan (pekerjaan kedua), namun kajian The Centre pada tahun 2019 mendapati bahawa terdapat 50% hingga 60% Pekerja Gig Ekonomi yang telah menjadikan pekerjaan tersebut sebagai pekerjaan utama.
Pada masa kini separuh daripada Pekerja Gig Ekonomi yang berada di pasaran adalah secara sepenuh masa.
Keadaan ini turut disumbangkan oleh kegawatan ekonomi yang meningkatkan kadar pengangguran dalam kalangan graduan muda, pilihan yang mereka ada sekarang adalah bekerja sebagai Pekerja Gig Ekonomi.
Layanan yang diberikan kepada ahli-ahli Penghantar adalah sesuatu yang perlu diambil berat, namun kekangan yang dihadapi oleh majikan-majikan E-Hailing juga turut mendapat perhatian.
Seharusnya pekerjaan sebagai penghantar makanan secara E-Hailing perlu kembali menjadi pekerjaan kedua, para belia dan graduan muda tidak boleh terus mengharap kepada pekerjaan tersebut sebagai sumber utama pendapatan.
Sifat pekerjaan tersebut seperti yang didefinisikan oleh The Centre adalah secara kontrak jangka pendek, pembayaran setiap penghantaran yang dilakukan adalah bergantung kepada kontrak tersebut dan ia pasti berbeza mengikut keadaan.
Ahli-ahli Penghantar perlu mula mencari pekerjaan utama dalam bidang lain, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) melaporkan perkembangan positif pada tahun 2022 menunjukkan suku pertama tahun ini terdapat 8.57 juta peluang pekerjaan baru yang memerlukan kemasukan.
Ahli-ahli Penghantar boleh mempertimbangkan peluang pekerjaan tersebut dan menjadikan Pekerjaan Gig Ekonomi sebagai pendapatan sampingan.
Namun sepanjang proses peralihan Ahli-ahli Penghantar untuk mendapatkan pekerjaan baru, mereka masih perlu terus bekerja dalam bidang Pekerjaan Gig Ekonomi.
Kebajikan mereka perlu terus dipertahankan, justeru Angkatan Muda PKR (AMK) telah mewujudkan sebuah jawatankuasa bagi menangani isu-isu terkait E-Hailing.
Objektif pertama jawatankuasa ini adalah untuk menerima aduan-aduan daripada penunggang dan pemandu penyedia perkhidmatan penghantaran E-Hailing.
Objektif kedua adalah untuk meneliti dan mengkaji isu-isu semasa melalui sumbang saran dasar dan polisi radikal secara berterusan.
Objektif terakhir adalah untuk menemukan penyelesaian daripada tindakan susulan termasuklah inisiatif temu rapat, perbincangan kolektif dan kebajikan pekerja ekonomi gig.
AMK berharap jawatankuasa tersebut dapat membantu menyuarakan keresahan Pekerja Gig Ekonomi supaya masalah dan cabaran yang mereka dapat difahami oleh masyarakat.
MOHD FAUZI FADZIL adalah Ketua Penerangan AMK Cabang Pandan
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai