Skip to main
Logo Malaysiakini

SURAT | Menjengah Bunda Tanah Melayu

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

"Tak tonton filem Mat Kilau? Naik semangat gila dibuatnya," kata seseorang bertanya sekali gus menjawab mengapa ia diutarakan.

"Tak," jawab saya ringkas. Lalu nampak ada riak kecewa di wajahnya.

Sebagai anak jati Pahang, tetaplah saya bangga serta menghormati tokoh pejuang negara seperti Mat Kilau itu. Cumanya saya tidak teruja untuk menikmati sebuah cerita yang diwayangkan.

Bagi menghayati dan menikmati cerita semangat Melayu, saya memilih untuk bermusafir menelusuri kepulauan Riau hingga ke 'Bunda Tanah Melayu'.

Almarhum ayah kepada emak saya pernah bersurah yang asal-usul keturunannya adalah dari Daik. Cerita yang disurahkan pada zaman kanak-kanak itu membenihkan hasrat dalam hati saya.

Berpuluh-puluh tahun kemudian barulah saya direzekikan untuk menjejak kaki ke situ. Itu pun 'tuah' daripada sebuah lukisan saya yang dibeli seorang sahabat.

Hasil daripada penjualan lukisan itulah saya jadikan modal untuk berbelanja melunaskan hasrat yang sekian lama dipendamkan.

Semasa berada dalam perut feri menuju ke Daik, pandangan saya terlontar ke luar menikmati panorama lautan membiru ke kaki langit. Feri itu laluannya menelusuri celahan pulau-pulau.

Ada yang berpenghuni dan ada juga sekadar berisi hidupan lain. Ia adalah landskap yang mempersona.

Andainya benar leluhur saya memang berasal dari Daik, betapa gagah dan kentalnya jati diri mereka semasa memperjudi nasib membelah lautan untuk mencari tanah baru buat menyambung hidup.

Itulah nilai yang perlu dihayati dan diresapkan ke darah dan daging kita berbanding semangat berapi-api yang keliru apabila asyik melatah tidak tentu pasal mahu membasahkan keris dengan darah tanpa tentu arah.

Saya cuba menjangkau apa yang berlaku berpuluh-puluh tahun silam dengan khayalan yang ada. Dari Daik mereka membelah samudera naik ke darat hingga ke hulu Pahang. Dan perlu difahami bahawa ada juga orang Pahang yang berlayar ke Daik.

Sudah tentu ia suatu episod yang sangat epik.

Menurut keterangan daripada seorang kakitangan muzium di Daik, Lazaurdy Lingga, ketika zaman pemerintahan Mahmud Riayat Syah (1761-1712), kebanyakan orang di negeri itu menjadi petugas istana atau alim ulama

Berselang waktu, pergolakan pun berlaku. Daik pula sering dikepung oleh Belanda, lalu kehidupan menjadi sulit. Maka penduduk di Kampung Pahang di Daik mengambil keputusan kembali ke Pahang di Malaysia.

Di pekarangan Muzium Daik itu ada ratusan tempayan lama tersusun. Dimaklumkan yang tempayan itu adalah relik tinggalan dari zaman orang Cina dari tanah besar datang ke Daik untuk menguruskan perusahaan gambir.

Pada peringkat awal petempatan orang Cina itu bermula di kawasan pesisir pantai, sehinggalah muncul ancaman lanun yang memaksa mereka berpindah ke kawasan hutan berhampiran banjaran gunung Daik dan sekitarnya.

Relik itu dan kesan tinggalan sejarahnya masih mudah ditemui di hutan-hutan sekitar Daik.

"Orang-orang Cina di sini kehidupan mereka tidak berbeza daripada orang kita bang!

"Malah mereka menggunakan ungkapan seperti pak ngah, mak teh dan seumpamanya bagi membahasakan pangkat persaudaraan," kata Yusran yang menjadi pemandu saya sewaktu di Daik.

Mendengarkan kata-kata itu saya segera terkenang kepada Lipis pada era 1960-an dan 1970-an dulu. Ia adalah Lipis pada musim majmuk masih diraikan penuh muhibah.

Keindahan gugusan Kepulauan Riau memang mengusik fantasi. Saya berkhayal seolah-olah berada dalam adegan filem Pirates of Carribean.

Barangkali jika ada pembikin filem ingin mengangkat dan mengolah filem lama Melayu dengan nafas baru - seperti Hulubalang Daik dan Keris Sempena Riau - persekitaran itu boleh dijadikan lokasi yang menarik.

Kalau kena gaya dan kaedahnya, berlipat ganda laba boleh diraih.

Saya berasa seperti belut yang bertuah dapat pulang ke selut di Bunda Tanah Melayu itu. Daik seolah-olah kampung halaman yang telah lama saya tinggalkan.

Insya-Allah akan saya jelang lagi pada kesempatan lain. Pada musim festival Tamadun Melayu yang mendatang mungkin.

Gunung Daik Bercabang tiga,
Patah satu tinggal dua,
Orang baik lebih dari keluarga,
Samalah rindu untuk bersua.

Pantun titipan saudara Lauzardy Lingga, petugas Muzium Daik.


UBI MARCHINO ialah jurupandu alam semula jadi.

Ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.