Skip to main
Logo Malaysiakini

SURAT | Naikkan harga lantai insentif pengeluaran getah

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Melihat kepada perkembangan semasa harga getah yang turun sehingga RM2.30 sekilogram, ini menimbulkan kebimbangan terhadap kepayahan hidup penoreh.

Mereka berada di mana-mana saja termasuk di daerah Sik, Baling, Padang Terap dan di seluruh Malaysia. Rata-rata mereka adalah masyarakat kampung.

Tambahan pula keadaan ekonomi semasa yang tidak menentu dan harga barangan yang terus mengalami kenaikan, ia turut menekan hidurp para penoreh getah.

Kehidupan mereka yang terdiri daripada golongan usia emas kian terhimpit bahkan mendepani cabaran kemelut kewangan keluarga bagi rawatan perubatan.

Justeru, saya menggesa agar kerajaan menaikkan harga lantai insentif pengeluaran getah (IPG) kepada RM 3.50 sekilogram dengan kadar segera, selain kawalan getah sintetik yang dihasilkan secara besar-besaran perlu dilaksanakan oleh agensi-agensi kerajaan yang terlibat dalam industri getah.

Pendapatan penoreh getah terjejas, ditambah pula dengan musim hujan yang berpanjangan menyebabkan aktiviti harian mencari nafkah tidak dapat diteruskan.

Laporan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia menjangkakan negara akan mengalami hujan lebat berterusan mulai pertengahan Nov ini dan diramal membawa kepada banjir besar pada penghujung bulan berkenaan.

Cuaca yang dialami dijangka memberi impak lebih signifikan kerana monsun timur laut yang aktif pada tempoh itu menyebabkan risiko berlaku hujan lebat berterusan dan banjir berskala besar adalah tinggi.

Peningkatan taburan hujan turut disebabkan oleh fenomena La Nina yang dijangka berlangsung hingga tahun depan.

Ada segelintir penoreh mengambil upah menoreh di kebun getah milik orang lain dan hasilnya perlu dikongsi menyebabkan pendapatan bulanan terlalu sedikit.

Sebahagian daripada mereka terpaksa berjimat cermat membeli keperluan harian bagi meringankan perbelanjaan barang dapur memandangkan kurang hasil pendapatan daripada sumber torehan tersebut.

Keadaan seperti ini akan menjadi sangat genting sekiranya ramai penoreh getah berhijrah ke tanaman komoditi lain yang lebih menguntungkan memandangkan ia hanya akan memberi impak buruk terhadap bekalan getah asli di Malaysia kelak.

Maka, bantuan kerajaan melalui pengaktifan IPG pada kadar tersebut dan kenaikan harga lantai getah merupakan langkah yang sangat penting bagi membantu penoreh getah meneruskan kelangsungan hidup, seterusnya merealisasikan pembangunan ekonomi getah sebagai salah satu kepentingan kepada Keluarga Malaysia.


AHMAD TARMIZI SULAIMAN ialah ahli parlimen Sik.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.