Skip to main
Logo Malaysiakini

SURAT | Laungan keamanan sejagat oleh PM

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

SURAT | Seruan jelas yang ditekankan oleh Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob melalui ucapannya di Perhimpunan Agung PBB (UNGA) ke-77 di New York, AS meletakkan Malaysia di hadapan dalam perjuangan keamananan dan keadilan sejagat bagi isu-isu dan konflik antarabangsa kini.

Gesaan yang dilafazkan oleh Ismail Sabri dalam bahasa Melayu sambil berpakaian berbaju Melayu lengkap turut memartabatkan bahasa itu pentas antarabangsa.

Ia mengingatkan kita kepada kegungan bahasa Melayu yang pernah menjadi lingua franca dan diguna pakai sebagai medium komunikasi oleh pedagang-pedagang asing dari abad ketujuh hingga abad ke-19.

Usaha mulia itu pernah dimulakan Menteri Alam Sekitar dan Air, Tuan Ibrahim Tuan Man, ketika menyampaikan ucapannya di persidangan ke-26 Konvensyen Rangka Kerja Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Glasgow, Scotland tahun lepas.

Selaku pengerusi Kumpulan Rentas Parti Parlimen Malaysia (KRPPM) Polisi Pelarian, saya menyokong ketegasan perdana menteri dalam memperjuangkan keamanan dan kestabilan global dalam konflik peperangan moden yang mengakibatkan kesengsaraan penduduk dunia, krisis keselamatan makanan dan penambahan jumlah pelarian di dunia akibat peperangan seperti di Palestin, Myanmar dan Ukraine.

Dasar apartheid yang diamalkan oleh penceroboh dan pendudukan haram Israel mengakibatkan kekejaman serta penindasan tanpa memikirkan prinsip kemanusiaan terhadap rakyat Palestin sejak sekian lama.

Harus dibawa ke pengadilan

Dunia melihat kekasaran dan keganasan Israel yang memusnahkan kehidupan penduduk Palestin melalui peperangan, rampasan wilayah, dan pemindahan secara kasar merupakan pencabulan hak asasi manusia yang melampaui batas.

Ismail Sabri turut melahirkan rasa kecewa dengan situasi di Myanmar sejak tercetusnya rampasan kuasa pada bulan Feb 2021 apabila sikap sambil lewa dan berlepas tangan Majlis Keselamatan PBB dengan menyerahkan situasi tersebut kepada Asean merupakan suatu luahan Malaysia yang jelas untuk memastikan keadilan dunia tercapai termasuk isu pencabulan undang-undang antarabangsa.

Krisis politik itu yang turut memberikan kesan yang buruk tehadap pelarian Rohingya Myanmar yang harus diperhalusi dan diambil berat oleh kuasa-kuasa besar dalam PBB.

Bahkan, saya secara peribadi melihat tindakan pihak tentera Myanmar yang berterusan mengamalkan dasar 'penghapusan etnik' harus dibawa ke muka pengadilan.

Justeru, gesaan Malaysia terhadap kuasa-kuasa besar supaya tidak terkecuali memberikan tindakan pantas bagi penyelesaian konflik ini dan tidak mengambil tindakan double-standard adalah suatu seruan berani yang terpuji demi memberikan keadilan secara menyeluruh.

Laungan keamanan sejagat oleh perdana menteri terhadap pergeseran politik dan konflik antarabangsa ini harus diselesaikan melalui pentas dialog dan perundingan bertepatan dengan salah satu prinsip Malaysia yang digariskan di dalam dasar luar negara iaitu menyelesaikan masalah menerusi rundingan.

Maka saya menyokong penuh gesaan dan tindakan perdana menteri dalam mencari solusi bagi semua isu antarabangsa yang telah dibangkitkan dalam ucapan beliau.


AHMAD TARMIZI SULAIMAN ialah ahli parlimen Sik dan Pengerusi Kumpulan Rentas Parti Parlimen Malaysia Polisi Pelarian.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.