SURAT | Saravanan main api perkauman demi undi
SURAT | Kenyataan Timbalan Presiden MIC M Saravanan bahawa DAP akan mengawal pentadbiran negara jika Pakatan Harapan (PH) menang dalam PRU ke-15 adalah tindakan terdesak parti itu untuk meraih sokongan pengundi Melayu.
Hal itu kerana MIC sudah jelas tidak lagi mempunyai kekuatan untuk mendapatkan sokongan pengundi masyarakat India dan Cina.
Adalah sangat sedih apabila soal perkauman kini kerap dimainkan terutama dalam kalangan ahli politik yang sebelum ini berkuasa tetapi pada masa sama mempamerkan kekayaan dan 'merompak' kekayaan negara.
Kini mereka menggunakan isu perkauman bagi menarik pengundi khususnya pengundi Melayu.
Namun, saya lebih terkejut apabila kenyataan bersifat perkauman itu datangnya daripada seorang pemimpin parti yang mewakili kaum minoriti di negara ini.
Apakah Saravanan tidak sedar bahawa Majlis Raja-raja dan Perlembagaan Negara sedang melindungi kepentingan dan hak masyarakat Melayu dan ia tidak pernah dicabar oleh PH?
Perlembagaan negara kita sangat jelas menyatakan hak orang Melayu tidak boleh dicabar oleh mana-mana pihak. Namun, mengejutkan apabila pemimpin seperti Saravanan menggunakan taktik kotor ini untuk meraih undi.
Saya juga mencabar Saravanan untuk memberi fakta-fakta mengenai pendapatan atau taraf kehidupan masyarakat Melayu yang menetap di Pulau Pinang dan Selangor yang dipimpin oleh PH sejak 2008 berbanding negeri-negeri di bawah BN.
Selaku seorang ahli parlimen yang menjadi menteri hampir 30 bulan di bawah kerajaan pusat hari ini, Saravanan sepatutnya memupuk semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum dan agama di Malaysia, bukannya menyalakan api perkauman.
Jangan lupa pepatah lama, "Apa yang kita semai, itulah yang kita tuai".
Ini merupakan suatu pengajaran daripada hukum "sebab dan akibat" yang diertikan, apabila kita ingin mendapatkan akibat hasil yang baik, maka kita harus berbuat sebab yang baik pula.
Sebaliknya, apabila kita menanam sesuatu yang buruk, maka hasil yang kita tuai pun akan buruk.
DR SATHIA PRAKASH NADARAJAN ialah timbalan setiausaha agung PKR.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai