Skip to main
Logo Malaysiakini

SURAT | GTA perlu menang PRU15

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Kita perlu akui bahawa kita pada hari ini belum cukup matang dalam mentadbir politik.

Kepentingan politik kepartian dalam mana-mana parti mendahului kepentingan negara bila mana kartel-kartel politik ini sanggup bekerjasama dengan parti yang kalah hingga menyebabkan politik negara kacau bilau dan hilang kestabilannya.

Ketidakstabilan ini akhirnya menjejaskan rakyat dan negara.

Azmin Ali dan Mahiaddin Yasin berpakat dengan Umno untuk menubuhkan kerajaan atas nama untuk kepentingan rakyat dan negara.

Tetapi tanpa disedari, mereka telah mengkhianati mandat rakyat yang diberikan kepada PH dan Mahathir Mohamad dalam PRU ke 14 yang lalu. 

Begitu juga dengan Anwar Ibrahim, beliau mengumumkan secara terbuka apabila mendapat sokongan termasuk daripada Umno untuk menubuhkan kerajaan, juga atas nama kepentingan rakyat dan negara sedangkan Anwar lupa bahawa rakyat telah menolak Umno dalam PRU ke-13.

Walaupun usaha beliau gagal, namun Anwar terus kerjasama menerusi MOU dengan kerajaan pintu belakang PN-BN. Ini juga langkah yang tidak menghormati mandat rakyat dalam PRU14 lalu. 

Sungguh pun kedua-dua blok politik PN dan PH ini menggunakan nama 'atas kepentingan rakyat' tetapi kita boleh menilai secara prinsip, siapa sebenarnya yang beretorik.

Tanpa sedar kedua-dua blok politik ini dipergunakan oleh Umno.

GTA perlu menang dalam PRU ke 15 ini untuk mengembalikan kepentingan negara mengatasi kepentingan politik kepartian.

Kerana itu GTA bergerak bersama kumpulan NGO dan individu yang bukan parti politik agar kartel-kartel politik ini tidak lagi bermaharajalela hingga menyebabkan politik dan pentadbiran negara tidak stabil.

GTA adalah gerakan rakyat yang akan ditadbir oleh rakyat, bukan parti politik.

Sekalipun tugas ini sukar dan hampir mustahil, kita tetap yakin usaha ini akan dapat dilakukan dengan keyakinan dan kerja keras. Dengan izin Allah SWT kita akan berjaya.


MAHDZIR IBRAHIM ialah timbalan ketua penerangan GTA

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.